
PALERMO: Seorang maut, enam yang lain dilaporkan hilang selepas sebuah bot layar mewah sepanjang 50 meter dengan 22 orang di dalamnya karam selepas diterjah ribut pada awal pagi Isnin di luar pantai bandar Sicily.
Bot layar yang dikenali sebagai ‘Bayesian’ itu dilaporkan tenggelam kira-kira pada jam 5 pagi waktu tempatan, sebelum anggota perkhidmatan kecemasan dikerahkan dengan 15 orang diselamatkan, termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun yang dibawa ke Hospital Kanak-kanak di Palermo, lapor Reuters.
Terdahulu sebelum mayat tersebut dijumpai, operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan untuk mencari empat penumpang warga British, seorang Kanada dan dua warga Amerika Syarikat yang hilang.
Penyelam dan pengawal pantai dari jabatan bomba masih meneruskan pencarian di sekitar lokasi bot layar malang itu tenggelam, yang kini berada pada kedalaman sekitar 50 meter dan setengah batu dari pantai bersama-sama dengan sebuah helikopter yang turut digunakan dalam operasi berkenaan.
‘Bayesian’ telah disiapkan dan dihantar pada tahun 2008 oleh pembina kapal layar Itali, Perini Navi dan boleh memuatkan sehingga 12 orang penumpang dilengkapi dengan enam bilik serba mewah.
Dengan kuasa yang penuh, ia mempunyai jarak pelayaran maksimum 3,600 batu nautika dengan kelajuan 13 knot, dilengkapi kuasa datang daripada enjin diesel Caterpillar C-32 berkembar. -Agensi/– HARAKAHDAILY 19/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!