KULIM-BANDAR BAHARU: Pemergian Yusof Zainol ke hadrat Ilahi kelmarin, bukan sahaja satu kehilangan bagi PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, tetapi juga seperti kehilangan ayah bagi ADUN Bandar Baharu, Dr Mohd Suffian Yusoff.
Allahyarham, 86, kata beliau, adalah rakan karib dan rakan seperjuangan Almarhum ayahnya sejak zaman muda lagi yang diibaratkannya seperti bapa sendiri, apatah lagi talian persahabatan itu ibarat isi dan kuku.
“Allahyarham adalah rakan baik ayah saya. Sama-sama seangkatan, rakan perjuangan, sebagai ahli jawatankuasa PAS Kawasan Kulim Bandar Baharu, suatu ketika dulu,” kata beliau.
Yusof jelasnya, merupakan as-Sabiqun PAS Kawasan berkenaan, antara yang terlibat bersama ayahnya bersama perjuangan PAS sejak sebelum merdeka lagi.
“Bukan itu sahaja, Allahyarham juga merupakan jentera pilihan raya, giat berkempen membantu kemenangan calon PAS, Tuan Guru Ahmad Tuan Hussin pada Pilihan Raya Pertama, 1955.
“Memang terasa sangat kehilangan beliau. Seorang yang banyak jasa dalam perjuangan sejak zaman muda dan sarat dengan pengalaman,” tambah beliau lagi.
Kata Yang Dipertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baru itu lagi, Yusof pernah diberi amanah sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Salleh dan pada ketika itu ayahnya juga berjuang di posisi yang sama sebagai Ketua PAS Cawangan Selama.
Satu perkara yang patut dipuji kata Suffian, walaupun dalam keadaan uzur, Allahyarham masih bertanyakan perkembangan PAS, selain tidak lokek menyumbang wang ringgit untuk parti.
“Terlalu banyak dan tidak terhitung jasa dan bakti Almarhum terutama kepada pembangunan PAS Kawasan ini, sejak sebelum merdeka sehingga sekarang.
“Semoga Allah ganjari segala pengorbanan dengan ganjaran pahala yang berpanjangan dan digolongkan bersama para syuhada,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 19/8/2024