GUA MUSANG: PRK N.43 DUN Nenggiri di mana menyaksikan keputusan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) sepatutnya membuatkan kerajaan tidak ragu-ragu lagi untuk mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang berlaku isu lompat sokongan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dalam kenyataannya mengulas keputusan PRK tersebut menyatakan, pihak kerajaan mesti berbuat demikian sekiranya mereka yakin bahawa pakatan tersebut sudah kembali kuat.
BN berjaya merampas kembali kerusi tersebut yang dimenangi PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRN15 Ogos tahun lalu sebelum kerusi tersebut diisytiharkan berlaku kekosongan berikutan tindakan ADUN sebelum itu mengalih sokongan kepada Perdana Menteri.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua jentera PN kerana hadir menyumbangkan tenaga dari seluruh negara dan berharap dipermudahkan untuk kembali ke lokasi masing-masing.
“Jadikan pengalaman sepanjang kempen PRK ini sebagai ‘latihan’ untuk menghadapi pilihan raya selepas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas sebentar tadi.
Keputusan rasmi BN menang dengan majoriti 3,352 undi setelah mendapat 9,091 undi menewaskan PN yang menggunakan logo PAS di mana memperoleh 5,739 undi. – HARAKAHDAILY 17/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!