Perayu undi PN ambil peluang bergambar dengan Rizwadi

- Advertisement -

GUA MUSANG: Kehadiran calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail di Pusat Mengundi Bertam Baru disambut dengan laungan takbir.

- Advertisement -

Beliau diiring petugas keselamatan PN melewati perayu undi PAS dan PN yang berada di kiri kanan jalan.

Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan bergambar bersama calon PN yang lengkap berpakaian baju Melayu bersampin dan songkok. (Foto atas)

Perayu undi PAS dan PN di Bertam Baru juga bertuah kerana dapat menikmati buah-buahan termasuk rambutan dan dokong selepas diberi kebenaran pemiliknya untuk diagih kepada orang ramai.

Ada petugas membawa buah rambutan dan dokong yang diambil di pokok untuk diagih kepada perayu undi PN.

Suasana tempat mengundi menjadi semakin hangat apabila jumlah pengundi yang datang mengundi semakin meningkat menjelang jam 9 pagi.

Kehadiran ramai perayu undi PN menyebabkan anggota polis yang bertugas memasang pita bagi memastikan perayu undi PN tidak mendekati perayu undi Umno.

Ada perayu undi PN menyanyikan lagu dikir barat dengan menyebut di sebaliknya Umno ada DAP.

Ekoran itu seorang perayu undi lelaki Umno separuh usia menjawab DAP tiada di Nenggiri. Suasana menjadi gamak biar pun bilangan perayu undi BN tidak ramai.

Namun suara mereka tenggelam di sebaliknya riuh rendah anak-anak muda PN dan perayu undi dari Tumpat dan Kedah. – HARAKAHDAILY 17/8/2024