Ura-ura rombakan kabinet: Sentimen netizen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sentimen negatif yang meluas dalam media sosial berkenaan ura-ura akan berlakunya rombakan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada penghujung bulan Ogos mencerminkan kekecewaan rakyat terhadap kepimpinan semasa.

QGenAnalysts berkata, sentimen negatif tersebut berlaku walaupun ada harapan bahawa ura-ura rombakan kabinet tersebut akan membawa perubahan positif.

- Advertisement -

“Ramai yang skeptikal sama ada perubahan ini akan membawa kepada peningkatan sebenar dalam pentadbiran negara,” ujar organisasi tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Ogos yang lepas, timbul desas-desus bahawa akan berlaku rombakan kabinet pada penghujung bulan Ogos ini. 

Susulan daripada berita tersebut, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberikan respons balas bagi menafikan isu tersebut. 

Anwar dilaporkan menambah bahawa tidak mengetahui akan perkara tersebut.

Kali terakhir berlaku rombakan kabinet adalah pada Disember tahun lalu, di mana bilangan menteri ditambah daripada 29 kepada 31.

Menurut QGenAnalysts, sentimen netizen negatif di ketiga-tiga platform media sosial utama negara, antaranya di platform Facebook iaitu sebanyak 98 peratus reaksi adalah negatif terhadap berita rombakan kabinet tersebut.

“Dengan ramai yang menyatakan bahawa selalunya perkara yang dinafikan akan benar-benar terjadi dan merasakan bahawa tidak akan ada sebarang perubahan dengan rombakan kabinet. 

“Di TikTok pula, 70 peratus netizen menunjukkan sentimen negatif terhadap kerajaan PH-BN dengan komen seperti cadangan untuk menukar Menteri Kewangan serta menyenaraikan beberapa menteri yang sepatutnya ditukar. 

“Sementara  di X, 70 peratus sentimen adalah negatif terhadap beberapa menteri, dengan ramai yang menyokong rombakan kabinet untuk menggantikan menteri yang tidak berfungsi dengan baik,” ujar organisasi tersebut.

Tambah QGenAnalysts, sekiranya rombakan tersebut berlaku pada akhir Ogos, itu bermakna kerajaan telah menunjukkan satu lagi perubahan dalam tempoh masa yang singkat, yang mungkin mencerminkan ketidakstabilan atau usaha untuk mencari kombinasi kepimpinan yang lebih efektif. 

“Ini juga boleh memberi gambaran bahawa kerajaan sedang berusaha meredakan keresahan awam yang semakin meningkat terhadap prestasi beberapa menteri atau dasar-dasar yang dilaksanakan,” kata kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!