KHYBER PAKHTUNKHWA: Pakistan telah mengesan tiga pesakit yang dijangkiti virus cacar monyet (mpox), kata Jabatan Kesihatan di utara negara itu pada Jumaat.
Jangkitan virus itu dikesan pada pesakit semasa ketibaan mereka dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun tidak diketahui varian mana yang dikesan pada pesakit itu, lapor Al Arabiya News.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Salim Khan berkata, dua daripada tiga pesakit itu telah disahkan menghidap penvirus mpox.
Sementara itu, sampel pesakit ketiga telah dihantar ke Institut Kesihatan Nasional di ibu negara, Islamabad, untuk pengesahan, katanya sambil menambah ketiga-tiga pesakit itu sedang dikuarantin.
Terdahulu, pegawai kesihatan global pada Khamis mengesahkan jangkitan dengan varian baru virus mpox di Sweden dan mengaitkannya dengan wabak yang semakin meningkat di Afrika, tanda pertama penyebarannya di luar benua itu sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam global.
WHO pada hari Rabu mengisytiharkan wabak itu yang melanda Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan masyarakat antarabangsa, tahap amaran tertingginya, selepas kes di Republik Demokratik Congo (DRG) merebak ke negara-negara berdekatan.
Terdapat 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak, di DRG sejak wabak itu bermula pada Januari 2023.
Mpox tergolong dalam keluarga virus yang sama dengan cacar, yang mana menyebabkan gejala yang lebih ringan seperti demam, menggigil, dan sakit-sakit badan.
Dalam kes yang lebih serius, individu yang dijangkiti virus itu boleh mengalami luka pada muka, tangan, dada dan alat kelamin. -Agensi/– HARAKAHDAILY 16/8/2024