KUALA LUMPUR: “Teruskan perjuangan ambo (saya) setelah ambo tiada,”, itu pesanan Almarhum Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat pada suatu ketika dahulu.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) telah membuat dasar yang cukup baik demi kebaikan rakyat di Malaysia.
“Apa yang tinggal kini, terus membangunkan dasar Islam yang beliau tinggalkan sebagai asas pemerintahan selama mana PAS terus memerintah Kelantan sesuai dengan perkembangan zaman yang berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos (Sabtu)
“Sabtu ini (esok) pengundi di Nenggiri bakal memilih wakil rakyat seterusnya yang bakal membawa suara dan hasrat mereka. Bukan mudah menjadi pemimpin di Nenggiri. Membawa masuk pemerintahan Islam yang mencakupi segenap aspek kemanusiaan.
“Nenggiri adalah sebuah tempat yang masih memerlukan banyak sentuhan pembangunan dan kebajikan. Nenggiri tidak boleh ketinggalan dalam perjuangan kerajaan Kelantan membangun bersama dasar Islam yang diwariskan oleh TGNA.
“Walaupun Kelantan sentiasa digelar negeri miskin, hakikatnya benih Islam yang disemai TGNA terus subur memakmurkan negeri dan rakyat dengan pembangunan duniawi dan ukhrawi,” katanya.
Zurk berkata, calon PRK DUN Nenggiri daripada PERIKATAN NASIONAL (PN), Mohd Rizwadi Ismail kali ini tidak syak lagi sangat dekat dengan masyarakat Nenggiri.
“Dengan ketokohan yang dimiliki oleh Ustaz Wadi dan kepimpinan sebagai figura agama yang bergelumang dalam politik dan masyarakat, tidak syak lagi beliau calon yang paling sesuai untuk rakyat Nenggiri.
“Bukan mudah menjaga dan memenuhi semua tuntutan kebajikan yang masih banyak diperlukan di sana. Namun dengan dokongan dan sokongan yang stabil dan kukuh daripada PN dan kerajaan Kelantan, Ustaz Wadi mampu membawa perubahan luar biasa.
“Betapa bertuahnya bumi Kelantan pernah dipinjamkan seorang permata ulama yang hebat berpolitik dan berani membangun sebuah model kerajaan Islam yang bertahan sehingga hari ini,” katanya.
Beliau berkata, jika pemimpin tidak memahami asas perjuangan untuk ikhlas berjuang di Kelantan ia agak sukar dan mencabar.
“Amanah besar buat seluruh pengundi Nenggiri terutama di luar negeri untuk pulang membuang undi agar PN terus dikekalkan di Nenggiri. Pastikan Ustaz Wadi yang menjaga rakyat di Nenggiri.
“Kerjasama yang baik antara wakil rakyat dengan kerajaan negeri akan membawa lembaran baru kepada Nenggiri dengan pembangunan sedia ada yang sedang berjalan di sana.
“Pulang bantu rakyat Nenggiri, keluar mengundi jalankan tanggungjawab. Seeru ‘ala barakatillah kepada Ustaz Wadi. Semoga kemenangan berpihak kepada PN dengan izin-Nya,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2024