GUA MUSANG: Taktik kotor pada saat-saat akhir dikesan berlaku pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Ketua Kempen PRK Dewan Ulamak PAS Gua Musang, Nor Halif Mohd Nor berkata, beliau terserempak dengan tiga individu menyebarkan risalah kempen memburukkan calon PN di kawasan masjid.
Katanya, risalah tersebut mengandungi bahan kempen pilihan raya termasuk ucapan Menteri Besar yang telah diubah suai bagi mengaburi pemikiran pengundi DUN Nenggiri.
“Masa saya nak masuk masjid untuk solat Jumaat tadi ada individu mengagihkan risalah di Masjid Sungai Asap B dan turut dimaklumkan oleh seorang sahabat sebaran risalah serupa juga dikesan berlaku di Masjid Renok Baru.
“Individu yang menyebar risalah juga berpakaian hijau, trade mark kita, saya pun tak perasaan, selepas dihulur risalah itu saya lipat masuk poket baju tak baca lagi kerana nak tunai solat Jumaat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Nor Halif juga berkata penyamaran individu dengan berpakaian hijau seperti seragam petugas PAS bagi mengeksploitasi kempen untuk mengelirukan orang ramai.
Kata beliau risalah yang diedar turut menyebut calon PN sekiranya menang tidak akan mengambil elaun dan semuanya akan diserah kepada rakyat.
Sedangkan katanya, risalah tersebut suatu pembohongan kerana Rizwadi tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti cuba digambarkan dalam risalah terbabit. – HARAKAHDAILY 16/8/2024