GUA MUSANG: Dewan Ulamak PAS Kelantan menganjur solat hajat dan munajat kemenangan di Markas Tarbiah (Masjid Hijau) Renok Baru bermula dengan solat Maghrib.
Solat Maghrib diimamkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Pasir Puteh, Ustaz Nazri Mustapa, manakala munajat dipimpin Setiausaha Dewan Ulamak PAS Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.
Solat hajat diadakan selepas program munajat dengan diimamkan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Mohamad Awang.
Masjid Hijau tempat berlangsung program penuh sesak dengan kehadiran petugas kempen PAS dan PN sehingga terpaksa dihampar plastik di bahagian serambi masjid.
Orang ramai tetap datang biarpun keadaan hujan lebat menjelang Maghrib. Hujan lebat berterusan sehingga jam 11 malam.
Hadir sama Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohamad Nassuruddin Daud, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mahmood, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Dr Wan Nik Wan Yussof.
Menteri Besar ketika berucap berkata, PRK Nenggiri mencatat kelainan apabila banyak berlaku perkara pelik apabila musuh yang pernah menentang PAS sebelum ini tampil membantu calon PN.

“Ini sesuatu yang pelik tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk pemimpin NGO Orang Asli yang sebelum ini menentang kita, namun kali ini bersama menolak Umno.
“Ini suatu perkembangan yang tidak pernah berlaku ini. Ini menunjukan satu isyarat untuk mengekalkan kemenangan di Nenggiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2024