KETIKA Hamas mengisytiharkan Yahya Sinwar mengetuai pergerakan itu menggantikan Ismail Haniyeh yang terkorban dalam serangan di Tehran, pihak musuh tidak bertangguh dalam memberikan reaksi balas.
Rejim Israel berikrar untuk menghapuskan ketua baru Hamas itu yang dikatakan dalang di sebalik serangan 7 Oktober 2023 menatijahkan serangan terhadap Gaza yang kini memasuki bulan ke-11.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berkata, Israel bertekad untuk mempertahankan diri serta bersedia dari segi defensif (pertahanan) dan ofensif (serangan). Manakala Leftenan Jeneral Herzi Halevi berikrar untuk “mencari dia (Sinwar) dan menghapuskannya”. Beliau turut menggesa Hamas mencari pemimpin lain.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, terpulang kepada Sinwar untuk membantu mencapai gencatan senjata atau sebaliknya. Menurutnya, Sinwar adalah penentu utama sama ada rundingan itu diteruskan atau tidak.
Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa pendekatan Yahya Sinwar lebih enggan bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza. Sekiranya perjanjian gencatan senjata kelihatan sukar semasa Ismail Haniyeh masih hidup, peratus kemungkinannya lebih sukar di bawah kepimpinan Yahya Sinwar yang sangat tegas.
Hizbullah selaku sekutu Hamas di Lubnan mengucapkan tahniah kepada Yahya Sinwar dan berkata pelantikan itu mengesahkan bahawa Israel telah gagal mencapai objektifnya dengan membunuh pemimpin dan pegawai Hamas.
Dalam pada itu Hizbullah berjanji untuk membalas dendam atas kematian Haniyeh dan komander tenteranya, Fuad Shukr dalam serangan Israel di Beirut pada hari yang sama.
Dalam pada banyak pihak melahirkan reaksi kurang senang dengan pelantikan Yahya Sinwar, satu laporan kaji selidik mendedahkan populariti beliau dalam kalangan penduduk Gaza pada Jun 2024.
Laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Polisi dan Bancian Palestin (PCPSR) menunjukkan 75 peratus penduduk Gaza berpuas hati dengan tindakan Hamas semasa peperangan dan hanya 24 peratus memihak kepada Fatah.
Dari segi populariti pemimpin Palestin pula, Yahya Sinwar menduduki tempat pertama dengan sokongan 65 peratus, manakala Mahmoud Abbas mendapat sokongan 10 peratus dan Muhammad Mustafa sebanyak 9 peratus.
Sokongan terhadap Yahya Sinwar sebenarnya meningkat kerana kejayaan Hamas mampu bertahan melawan tentera Israel di Gaza dan reputasinya disenangi semua kumpulan pejuang di Palestin. Mungkin inilah faktor yang menyebabkan beliau dipilih memimpin pergerakan Hamas pada ketika ini di saat pihak musuh juga dipimpin oleh Benjamin Netanyahu yang berhati kering.
Sebelum itu ramai yang menjangkakan pemimpin Hamas yang lain seperti Khaled Meshal atau Usamah Hamdan akan menggantikan Ismail Haniyeh. Namun, dengan meningkatnya risiko keselamatan di luar negara akibat pembunuhan Haniyeh bulan lepas, Hamas dilihat mengambil langkah lebih berwaspada.
Pemilihan Yahya Sinwar sangat tepat, ini kerana beliau berada di Gaza dan ancaman bunuh terhadapnya telah tersebar sejak 11 bulan lalu. Namun, sehingga kini Israel gagal untuk menghapuskannya. Malah beliau masih bernyawa dan reputasinya semakin meningkat di dalam dan di luar negara Palestin. – HARAKAHDAILY 15/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.