TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengumumkan Rabu beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) yang dijadualkan bulan depan, berikutan beberapa siri skandal politik yang telah mendesak agar beliau meletakkan jawatan.
Pengumuman Kishida untuk tidak bertanding bagi pemilihan semula dalam partinya menandakan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri apabila parti itu memilih pemimpin baharu, lapor CNBC.
Beliau dalam sidang akhbarnya berkata, adalah penting bagi LDP untuk mempunyai muka baharu dalam kepimpinan dan langkah pertama bagi merealisasikan perkara berkenaan adalah dengan beliau berundur dari jawatan.
“Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira apa yang terbaik untuk orang ramai di negara ini, dan untuk keluar sepenuhnya daripada ekonomi negara yang terdedah kepada deflasi, pertumbuhan gaji dan pelaburan harus digalakkan.
“Saya tidak teragak-agak dalam mengambil tanggungjawab sebagai ketua LDP untuk isu yang disebabkan oleh ahli parti, dan telah memikirkan tanggungjawab sebagai pemimpin sejak skandal pembiayaan muncul,” katanya.
LDP yang memegang kuasa hampir setiap penggal sejak penubuhannya pada 1955, beberapa bulan kebelakangan ini telah terlibat dalam salah satu skandal politik terbesar Jepun dalam beberapa dekad.
Dua daripada individu paling berpengaruh dalam LDP telah dituduh gagal mengisytiharkan pendapatan dan perbelanjaan mereka dengan betul dan, dalam beberapa keadaan, didakwa mengalihkan dana politik kepada penggubal undang-undang sebagai sogokan.
Selama hampir tiga tahun memegang jawatan, Kishida telah berikrar untuk mengambil langkah anti-rasuah dan melaksanakan reformasi parti, termasuk membubarkan puak dan mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana penggubal undang-undang yang melakukan rasuah.
Kebimbangan tentang ekonomi Jepun, termasuk kelemahan yen berbanding dolar AS, juga telah menjejaskan keyakinan terhadap dasar ekonomi Kishida. -Agensi/– HARAKAHDAILY 14/8/2024