KANGAR: Ketua Penerangan PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil menegaskan bahawa spekulasi yang beredar baru-baru ini hanya bertujuan untuk memburukkan nama dan mencipta tanggapan negatif terhadap kepemimpinan negeri dan parti.
Menurut beliau, spekulasi seperti itu bukanlah perkara baharu, terutamanya sejak PAS berjaya membentuk kerajaan negeri pada November 2022.
“Ini hanyalah mainan pihak lawan yang cuba merosakkan imej pemimpin dan parti kita,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.
Beliau menambah, kepemimpinan negeri sentiasa berada dalam keadaan baik dan memberikan kepercayaan penuh terhadap keputusan yang dibuat oleh pihak PAS Pusat.
Menurutnya, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, juga dilihat sentiasa menghormati keputusan parti dan hierarki yang ada dalam parti serta kerajaan.
“Sekarang adalah masa untuk Menteri Besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) fokus kepada kerja mereka dan menyantuni rakyat, serta berusaha untuk memajukan negeri,” katanya yang juga Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau turut menasihatkan ahli-ahli parti agar tidak melayani spekulasi dan khabar angin seumpama itu, sebaliknya terus berusaha membantu untuk menaikkan nama Perlis setanding dengan negeri-negeri lain. – HARAKAHDAILY 14/8/2024