KUALA LUMPUR: Sambutan Hantu Lapar, Zhongyuan atau YulanPen adalah perayaan tradisional masyarakat Cina beragama Tao dan Buddha yang disambut dalam bulan ke-7 kalendar lunar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Nushi Mahfodz berkata, sambutan Hantu Lapar adalah masa yang penting bagi penganut Buddha, Taoisme dan masyarakat Cina untuk menghormati ibu bapa dan nenek moyang mereka.
Menurutnya, kemuncak sambutan Hantu Lapar di Malaysia disambut pada hari ke-14, biasanya antara pertengahan bulan Ogos hingga awal bulan September.
Beliau turut berkongsikan tujuh fakta tentang sambutan ini, dengan yang pertama ialah ia bukan tentang hantu.
“Berbeza dengan konsep hantu kaum Melayu seperti pocong, pontianak atau penanggal yang menakutkan.
“Sambutan Hantu Lapar adalah manifestasi sıfat taat dan kasih penganut Tao & Buddha kepada ibu bapa dan leluhur iaitu dengan melakukan amalan yang boleh menenangkan roh mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, fakta kedua adalah sembahyang dan wang neraka.
“Aktiviti utama adalah melakukan penyembahan dan sembahyang samaada di tokong, kuil, biara atau di kediaman sendiri.
“Selain pembakaran kertas joss, penganut Tao & Buddha juga membakar replika wang neraka, iPhone kertas, dan beg berjenama buat roh-roh ibu bapa dan nenek moyang mereka,” ujar beliau menerusi perkongsian di Facebook miliknya.
Fakta ketiga pula adalah konsert untuk hantu.
“Persembahan Getai (歌台) atau konsert nyanyian dan tarian diadakan untuk menghiburkan roh-roh ini.
“Kerusi barisan hadapan sengaja dikosongkan untuk roh-roh.
“Pengikut Buddha di pelbagai negara juga menyambut bulan hantu lapar ini waima dengan gelaran yang berbeza; seperti Festival Yulanhui di China, Festival Obon di Jepun dan Festival Avalamba di India.
“Sementara di Jepun, persembahan tarian untuk menghiburkan roh-roh disebut sebagai Bon Odori turut diadakan,” ujarnya.
Nushi berkata, fakta keempat adalah masyarakat Cina yang menyambut sambutan hantu lapar akan memakai pakaian berwarna merah dan hitam.
“Mereka mempercayai warna merah dan hitam akan menarik roh-roh. Oleh itu, pakaian berwarna seperti ini dielak semasa bulan Hantu Lapar.
Katanya lagi, pakaian tersebut berbeza ketika sambutan Tahun Baru Cina, di mana warna merah dianggap membawa tuah dan kegembiraan, serta sering dipakai untuk menghalau nasib malang dan roh jahat.
Tambah Nushi, fakta seterusnya adalah tegahan kepada umat Islam. Memandangkan perayaan ini berkaitan dengan kepercayaan agama Buddha, umat Islam dilarang menyertai sebarang aktiviti festival ini.
Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Furqan, ayat 25: 72 bermaksud: “Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang lagha, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya”.
Tambah beliau lagi, fakta keenam adalah saling hormat menghormati.
Pada masa yang sama, umat Islam wajar menghormati kepercayaan dan perayaan agama lain serta tidak boleh menghinanya sama sekali.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-An am, ayat 6: 108 bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah, Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.
Fakta terakhir adalah saranan kepada pelajar atau pemimpin masyarakat.
“Bagi yang ada keperluan untuk menghadirinya atas tujuan kajian pembelajaran, ia dibolehkan dengan syarat tidak melibatkan diri dengan sebarang upacara berkaitan.
“Sementara, bagi yang dijemput atas tujuan merasmikan sambutan perayaan berkenaan, lebih baik agar diwakilkan kepada pembantu atau timbalan atau sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai dalam kalangan bukan Islam.
“Sambutan Hantu Lapar adalah masa yang penting bagi penganut Buddha, Taoisme dan masyarakat Cina untuk menghormati ibu bapa dan nenek moyang mereka,” katanya.
Oleh itu, Nushi berharap semoga sikap saling menghormati antara satu sama lain akan memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia, serta memelihara keharmonian dan perpaduan di negara ini. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!