Penyanyi Nidza Afham masih belum ditemui 

Nidza Afham dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada kira-kira jam 7.58 malam tadi, Selasa, 13 Ogos 2024 dengan menaiki e-hailing untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial penyanyi, Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, dilaporkan hilang selepas keluar rumahnya pada kira-kira jam 7.58 malam tadi, Selasa (13 Ogos) dengan menaiki e-hailing untuk berjoging di Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Mangsa yang juga merupakan abang kepada penyanyi tempatan, Nur Aufahanie Mokhtar, 21. Justeru Nur Aufahanie memohon orang ramai untuk menjejaki dan berharap abangnya ditemui dalam keadaan selamat.

- Advertisement -

“Abang saya hilang selepas joging di Stadium Sultan Sulaiman Klang. Lokasi terakhir telefon bimbit dan dompet ditemui atas jambatan hadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK, kini sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang – MBDK).

“Baju dipakai semasa joging jersey berwarna hitam atau biru gelap dengan nama APAM, 56 di belakang baju. Laporan polis sudah dibuat, dan Afham masih hilang. Kami masih menunggu. Afham, baliklah..,” katanya menerusi hantaran di aplikasi Instagram, tadi.

Menerusi hantaran berbeza di aplikasi X, kakak sulungnya, Nur Irfahanie Mokhtar, turut berkongsi kronologi kehilangan adiknya dan telah pun menyemak telefon bimbit adiknya.

“Kami (keluarga) dah semak telefon bimbitnya, tidak ada unsur unsur bergaduh atau jerung pinjaman (sindiket pinjaman wang tidak berlesen). Semua dalam keadaan baik. Adik saya juga telah menghabiskan larian itu.

“Moga kalian dapat doakan keselamatan adik saya dan segera ditemui dalam keadaan selamat. Amin Ya Rabb,” katanya.

Difahamkan, Afham juga merupakan seorang penyanyi dan aktif membuat persembahan. Laporan polis juga telah dibuat oleh pihak keluarga di Balai Polis Klang. 

Orang ramai jika mempunyai informasi terhadap mangsa boleh segera hubungi nombor tertera yang dipercayai keluarga mangsa, 011-1021 7071 dan 013-273 5254. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -