KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik kontroversi, Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama, karya tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau bukanlah satu langkah yang memeranjatkan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia sememangnya satu langkah yang sudah dijangka dalam situasi kerajaan campuran yang mentadbir Persekutuan pada hari ini turut ditunjangi oleh DAP sebagai parti komponen yang terbesar.
“Walaupun kerajaan boleh menggunakan alasan perintah ini dibuat berdasarkan keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei 2022 yang menerima rayuan Hew berhubung larangan berkenaan.
“Tiada sebarang hambatan yang perlu dikejar oleh kerajaan untuk membuat pembatalan perintah larangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semua pihak mengetahui siapakah individu bernama Hew Kuan Yau tersebut yang merupakan bekas ahli DAP dan penulis buku tersebut.
“Ketika saya bangkit dalam Parlimen pada 16 Februari 2023 menyebut berhubung berkenaan ucapannya ketika musim kempen Pilihan Raya Umum yang lepas yang membawa kepada siasatan pihak polis, beberapa orang Ahli Parlimen DAP bangun menyuarakan pembelaan.
“Saya yakin, semua pihak dalam kerajaan campuran yang ada pada hari ini, termasuklah Umno sangat bergembira dengan keputusan kerajaan melalui KDN ini.
“Saya ingin turut mencadangkan agar ia diedarkan secara besar-besaran semasa kempen di Nenggiri.
“Jika tidak sempat melalui jalan darat, boleh gunakan helikopter,” katanya dalam nada sinis. – HARAKAHDAILY 14/8/2024