Op Didik IPD Ranau di SMK Mat Salleh

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, di Ranau, Sabah.
- Advertisement -

RANAU: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, Sabah telah menjalankan Op Didik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, di sini.

Polis Daerah Ranau dalam kenyataannya berkata, operasi berkenaan dijalankan antara kerjasama Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Ranau dan pegawai perhubungan sekolah.

- Advertisement -

“Op Didik dijalankan bagi mendidik dan memberi nasihat kepada para pelajar agar sentiasa mematuhi segala peraturan lalu lintas di jalan raya terutama kepada pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Tambah kenyataan itu, pasukan operasi berkenaan turut menasihatkan para pelajar agar mengambil lesen memandu yang sah sebelum memiliki dan memandu kenderaan.  

Operasi ini dijalankan sekitar jam 6 pagi tadi di hadapan pintu utama sekolah tersebut.

“Op Didik seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dengan harapan dapat menurunkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan penunggang motosikal,” katanya.

Menurut statistik harian kemalangan seluruh negara yang dikongsikan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,706 kes kemalangan direkodkan pada 13 Ogos (Selasa).

Kes ini membabitkan 17 kematian yang mencatat penurunan kes kemalangan sebanyak 126 kes, malah peningkatan empat kematian berbanding hari sebelumnya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -