BAGAN SERAI: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN), menarik semua pengharaman komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, bukan sahaja menimbulkan tanda tanya, malah amat mengecewakan.
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata, sebelum ini komik berkenaan telah diwartakan pengharamannya oleh KDN pada 2019 kerana kandungannya memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.
“Komik itu telah diharamkan oleh KDN pada 2019 tetapi Menteri KDN sekarang ini pula mengumumkan dalam kenyataannya pengharaman itu ditarik balik bermula 12 Ogos 2024.
“Sangat mengecewakan seolah-olah kerajaan tidak ada usaha agar pengharaman itu dikekalkan.
“Atau kerajaan sekarang akur dan tunduk dengan kehendak DAP yang dilihat dominan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH)?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang diharamkan edarannya sebelum ini berikutan kandungannya bukan sahaja memudaratkan ketenteraman awam malah boleh menggugat kestabilan awam.
“Kandungan komik itu bersifat menyanggah Perlembagaan serta cuba merungkai kefahaman rakyat yang harmoni selama ini menentang fahaman komunis serta menjunjung Islam sebagai agama kedamaian dan toleransi.
“Membenarkan sebaran ini akan mengundang kemudaratan kepada pemikiran rakyat khususnya kanak-kanak yang menjadi sasaran komik tersebut,” tegasnya lagi.
ADUN Gunung Semanggol itu juga berkata, walaupun penarikan balik warta itu dikatakan susulan keputusan mahkamah, namun kerajaan perlu mengambil inisiatif lain bagi menghalang elemen yang boleh membawa implikasi negatif kepada rakyat Malaysia.
Komik itu, ujar beliau lebih kepada membawa doktrin merungkai kefahaman rakyat terhadap komunis yang sangat halus dan agak merbahaya, malah prakata di komik itu juga ditulis oleh bekas Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung DAP yang lalu, Lim Guan Eng.
“Oleh itu PAS Perak menyeru agar rakyat mengambil tindakan pengawasan, agar buku ini tidak tersebar dalam masyarakat setelah kerajaan PH-BN gagal menjaga dan mengawal buku tersebut melalui warta yang menarik pengharamannya,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!