Mantan Mufti Negeri Sembilan meninggal dunia: DPPS ucap takziah

Allahyarham Datuk Mohd Yusof Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Selangor (DPPS) merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga, teman-teman dan rakan taulan Allahyarham Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Mantan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan tersebut meninggal dunia di rumahnya di Taman Marida Senawang, di sini. 

- Advertisement -

Allahyarham yang memegang jawatan itu mulai 1 April 2009 sehingga tahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 7.43 malam kelmarin.

“Moga Allah SWT mencucuri dan merahmati rohnya dan ditempatkan bersama muttaqin dan solihin,” ujar kenyataan DPPS, hari ini.

Menantu Allahyarham yang juga Imam Masjid Negeri, Danial Farhan Dolmat dalam laporan media berkata, arwah bapa mentuanya menghidap kanser hati sejak sebulan lalu.

Keadaan kesihatan Allahyarham dikatakan semakin merosot sejak kebelakangan ini meskipun mendapat rawatan di Hospital Tuanku Ja`afar.

Difahamkan jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan di Masjid Kariah Taman Marida malam tadi manakala pada pagi hari ini akan dibawa ke Masjid Negeri untuk solat jenazah kali kedua sebelum pengembumian di Makam Haji Mohd Said.

Allahyarham, 79, yang juga penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Negeri Sembilan pada 2005 meninggalkan isteri dan enam anak membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan serta 20 cucu.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Nuri, Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan (1952–1957) sebelum melanjutkan peringkat menengah di Sekolah Pertukangan Kayu Nuri (1958), Sekolah Ugama Menengah Rendah Johol (1959–1961), Sekolah Ugama Menengah Tinggi Istana Lama Sri Menanti (1962–1963) dan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban (1964–1965).

Beliau memperolehi Sijil Tinggi di Kolej Islam Malaya Petaling Jaya dan Diploma Pendidikan (1969) di kolej yang sama menjelang tahun 1966.

Allahyarham kemudian menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, Kaherah pada 1970 dan memperoleh Sarjana Muda Usuludin (Tafsir & Hadith) pada 1972.

Di universiti yang sama, Allahyarham berjaya memperoleh Sarjana Syariah dalam jurusan Fiqah Perbandingan.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban sebelum dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Ugama Seremban.

Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai pengetua di beberapa buah sekolah iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seremban (SMKA Seremban) (1980–1985), Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan (Oktober 1985–April 1987), Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Seremban (1987–November 1988), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Melaka (SMKA) (1988–Februari 1989), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS) (Mac 1989-1997) dan Maktab Perguruan Islam Bangi, Selangor (MPI) (1998–Februari 2000).

Allahyarham juga dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Ketua Panel Penterjemah dan Penyunting Kitab Fiqh-Manhaji, Ketua Panel Penyunting Kitab ‘Aqidah Islamiyah’ dan Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.

Beliau kemudian diberi kepercayaan menggalas jawatan Mufti keempat Kerajaan Negeri Sembilan menggantikan Datuk Mohd Murtadza Ahmad pada 1 April 2009. – HARAKAHDAILY 14/8/2024