‘Komik promosi ideologi komunisme, jarum halus DAP’

Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Komik, Komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama adalah jarum halus DAP untuk mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu serta usaha untuk menormalisasi perjuangan Komunis.”

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai contoh dalam perkara tersebut adalah karikatur menggambarkan Ko Min Tang, Bintang 3 dan Komunis terlibat sama dalam perjuangan memerdekakan Tanah Melayu.  

- Advertisement -

“Persoalannya, mengapakah DAP cuba mempopularkan kembali fahaman Komunis di negara ini sehingga membuat rayuan ke mahkamah untuk membatalkan pengharaman komik propaganda tersebut? 

“Sedangkan rakyat Malaysia yang sememangnya cintakan keamanan dan menghargai nikmat kemerdekaan menolak fahaman Komunis.

“Banyak laporan polis telah dibuat berkenaan komik ini oleh rakyat khususnya orang Melayu Islam bagi menolak tindakan pihak tidak bertanggungjawab mengedarkan komik ini di sekolah-sekolah,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan juga menurut Tuan Ibrahim, pada tahun 2019 telah memberi perhatian serius terhadap isu tersebut dengan mengharamkan Komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ atas dasar menggugat sensitiviti majoriti rakyat Malaysia. 

“Selepas ia diharamkan, kini pengharamannya digugat kembali.

Adakah pemimpin Melayu khususnya Umno hanya mampu berdiam diri sahaja sebagaimana pemimpin PAN selama ini?

“Adakah Presiden Umno sudah selesa dengan norma baharu ini? 

“Umno yang dulu kelihatan tegas dalam memperjuangkan ABATA, kini layu tidak bertenaga,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Tambah Tuan Ibrahim, kerajaan perlu konsisten meneruskan keputusan sebelum ini, agar tidak dilihat ‘flip flop’ dalam isu yang sensitif seperti ini.

“Kerajaan harus menepis gambaran umum bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘U-turn’.

“Amat malang apabila Kerajaan tidak mempedulikan sensitiviti pejuang kemerdekaan khususnya anggota tentera dan rakyat terutamanya orang Melayu yang menderita ketika era kekejaman Komunis,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -