Komik julang musuh negara: Rakyat berduka cita

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Negeri Selangor merakamkan rasa dukacita, kecewa dan penentangan yang keras terhadap perkembangan semasa dalam isu pembatalan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik kontroversi, Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau Superman Hew.

Ketua Penerangannya, Zurk Ahmad berkata, sebagai negara yang berdaulat, merdeka dan mempunyai identiti serta prinsipnya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) seharusnya mengambil tindakan yang proaktif, kritis, dan tidak berkompromi dengan isu tersebut. 

- Advertisement -

“Selain itu, karya ini juga membawa mesej salah faham terhadap Islam dan menormalisasikan racun Islamofobia dalam negara ini. 

“Pastinya ia adalah satu fitnah yang berniat jahat dan prejudis terhadap perjuangan umat Islam yang memperjuangkan hak asasi bagi hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, PAS Selangor ingin memberikan amaran kepada Kerajaan PH-BN agar tidak tersalah langkah dalam mengurus isu yang sangat kritikal tersebut kerana sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam dalam negara ada had dan batasnya.

Menjelang bulan Ogos ini, ujar Zurk, negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, namun pada masa yang sama bekas aktivis DAP yang diberi gelaran Superman Hew juga turut menyambut kemerdekaan menerusi hasil karyanya yang menjulang individu bernama Chin Pheng, ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM).

“Alangkah duka citanya rakyat di negara ini, satu karya yang mengagungkan musuh kepada negara serta bertentangan dengan prinsip dan semangat patriotik negara kini merdeka dan bebas daripada larangan untuk dicetak dan diedarkan kepada rakyat Malaysia.

“PAS Selangor menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli-ahli Umno dan seluruh NGO Melayu Islam dalam negara ini untuk kita bangkit, bertegas, tidak berganjak dan terus mendesak agar Kerajaan PH-BN mengharamkan karya murahan seperti ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -