Isu komik promosi ideologi komunisme: PH-BN tak boleh diharap?

Nurul Islam Mohamed Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dikritik sebagai tidak boleh diharapkan untuk menjaga Islam dan Melayu di negara ini, susulan buku komik yang mempromosi ideologi komunisme, Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama ditarik balik pengharamannya menerusi satu warta kerajaan.

Penganalisis politik, Nurul Islam Mohamed Yusoff dalam kenyataannya berkata, Kerajaan PH-BN juga tidak boleh diharapkan kerana tidak mampu menyekat komik yang dihasilkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau atau lebih dikenali sebagai ‘Superman Hew’ tersebut yang pernah disiasat kerana menghina Islam dan Melayu.

Menurut beliau, komik tersebut pernah diharamkan kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme.

- Advertisement -

“Ia  cuba sebarkan fakta yang salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

“Pada tahun 2019 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri, komik ini disekat atas sebab di atas. 

“Tetapi pada 12 Ogos 2024, menerusi satu warta kerajaan, Saifuddin Nasution tarik balik larangan 2019,”  kata Nurul Islam dalam kenyataan di media sosial miliknya.

Media tempatan semalam melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, yang sebelum ini diwartakan pada 2019. 

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos 2024.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa, iaitu versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang disiarkan dalam warta pada 23 Oktober 2019 dengan melarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam jadual,” ujar kenyataan berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan itu.

Terdahulu, pada 8 Disember 2022, media melaporkan Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang dihasilkan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Pada 23 Oktober 2019, KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dalam tiga versi bahasa itu melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Warta Perintah Larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN dalam kenyataannya berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Menurut kenyataan tersebut, kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -