Institusi pendidikan Islam, pondok terima wakalah zakat Kedah

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Sebanyak 295 institusi pendidikan Islam seluruh Kedah yang mendaftar dengan kerajaan negeri menerima bantuan pemberian operasi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, berkata, 295 sekolah berkenaan, melibatkan 45 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR), 36 Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), 120 maahad tahfiz dan 94 institusi pendidikan Islam yang di bawah naungan Hal Ehwal Sekolah Agama Kedah (HESA).

“Bantuan pemberian operasi yang mula diperkenalkan sejak 2021 adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban khususnya untuk membayar bil-bil utiliti yang terpaksa ditanggung oleh pihak sekolah sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian sempena Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah, 2024, di Dewan Kenangan, Menara Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), hari ini.

Katanya lagi, SAR, SMAR dan maahad tahfiz, masing-masing menerima pemberian operasi sebanyak RM5,000 melibatkan peruntukan sebanyak RM1,005,000.

Manakala 94 institusi pendidikan naungan HESA, masing-masing menerima RM3,000 membabitkan peruntukan sebanyak RM282,000.

“Jumlah keseluruhan yang diperuntukan oleh kerajaan negeri pada sumbangan kali ini adalah sebanyak RM1,287,000,” tambah beliau.

Azam yang juga ADUN Sungai Limau juga memaklumkan, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) telah menerima sebanyak RM2,736,619.05 bayaran zakat daripada potongan gaji kakitangan kerajaan negeri untuk tahun 2023.

Jumlah itu katanya, melibatkan potongan gaji secara bulanan oleh kakitangan di 29 Jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Daripada jumlah tersebut, Jawatankuasa Pengurusan Wakalah Agihan Zakat Negeri Kedah telah memperuntukkan sebanyak RM205,000 untuk diagihkan kepada pengurusan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah di seluruh negeri.

“Sebanyak 41 institusi pondok yang berdaftar telah dikenal pasti untuk menerima wang wakalah zakat untuk kegunaan pengurusan pondok sebanyak RM5,000 bagi setiap pondok dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM205,000, pada tahun ini,” jelasnya lagi.

Sementara, ujar beliau, sebanyak RM342,077.38 iaitu 1/8 daripada jumlah zakat yang dibayar kepada kerajaan negeri diperuntukkan sebagai wang wakalah zakat untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf yang layak. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -