KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa kecewa dan membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang membatalkan larangan mencetak dan mengedar komik bertajuk ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ milik ‘Superman Hew’.
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, penarikan larangan tersebut langsung tidak memberi apa-apa manfaat kepada negara, bahkan bakal mencetuskan polemik 3R (Raja, Agama, Bangsa) yang tidak berkesudahan.
“Apa sudah jadi dengan kerajaan Madani? Komik yang begitu provokatif sebegini pun tidak mampu disekat, apa lagi yang mahu diharapkan?
“Lebih mendukacitakan, pembatalan larangan ke atas komik tersebut dilakukan pada bulan kemerdekaan, seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan.
“Sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 pernah larangkan komik tersebut yang giat diedarkan ke sekolah-sekolah pada waktu itu. Tetapi, penguasaan DAP yang semakin kuat membuatkan kerajaan PH 2.0 ini bacul untuk mempertahankan larangan tersebut,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, rakyat berasa marah terhadap komik tersebut kerana bukan sahaja ia cuba menyebarkan ideologi komunisme dan sosialisme, bahkan turut memaparkan mesej salah faham terhadap Islam, sehingga terdapat cubaan menormalisasi Islamofobia di dalam negara ini.
Watak orang Islam Uyghur di Xinjiang, China katanya, digambarkan sebagai pengganas, berbeza dengan sikap kita yang mahu membela nasib orang-orang Uyghur yang realitinya tertindas di bumi tersebut.
“Malahan, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak juga menjadi bahan sindiran dan cacian di dalam komik tersebut.
“Adakah Umno yang dipimpin Zahid hanya mampu berpeluk tubuh membiarkan sahaja pemimpin mereka dihina oleh ‘Superman DAP’ tersebut.
“Adakah Umno bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri yang membatalkan larangan pengedaran komik ini,” soal beliau.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor katanya, memberi amaran keras kepada kerajaan PH-Barisan Nasional (BN) agar tidak bermudah-mudahan terhadap isu tersebut.
“Kesabaran orang-orang Melayu dan Islam ada batasnya.
“Karya sampah sebegini perlu diharamkan sepenuhnya. Komik tersebut tidak layak menjadi bahan bacaan di tanah air tercinta ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024