Gula-gula nanas mengandungi dadah maut methamphetamine 

Gula-gula nanas yang dihadiahkan kepada sebuah amal di New Zealand ini didapati mengandungi dadah yang boleh membawa maut. (FOTO: Al-Arabiya)
- Advertisement -

AUCKLAND: Gula-gula nanas yang dihadiahkan kepada sebuah badan amal di New Zealand oleh individu yang tidak dikenali telah diuji positif dengan bahan methamphetamine yang boleh membawa maut, mencetuskan desakan awam agar ia segera dikeluarkan dari pasaran.

Pihak polis tempatan pada Rabu berkata, badan amal anti-kemiskinan Auckland City Mission telah segera membangkitkan isu berkenaan selepas mendapati gula-gula itu tercemar dengan dadah yang diharamkan di negara ini kerana ia boleh membuatkan seseorang menjadi ketagih, lapor Al Arabiya.

- Advertisement -

“Siasatan sedang dijalankan dan polis menganggap perkara itu sebagai keutamaan memandangkan risiko kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Yayasan Dadah New Zealand memaklumkan, sampel ujian gula-gula putih yang kelihatan tidak berbahaya dalam pembungkus kuning terang itu telah menunjukkan ianya mengandungi bahan methamphetamine.

Jurucakap yayasan berkenaan, Sarah Helm berkata, gula-gula manis yang telah diuji itu mengandungi kira-kira tiga gram methamphetamine, beratus kali lebih besar daripada dos biasa yang diambil oleh pengguna.

“Menelan methamphetamine sebanyak itu amat berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian,” katanya.

Oleh itu, Helm menggesa agar orang ramai yang telah menerima gula-gula daripada badan amal Auckland itu supaya tidak memakannya.

Gula-gula itu telah disumbangkan oleh orang awam yang tidak diketahui di dalam bungkusan berjenama yang tertutup sebelum kemudiannya diedarkan ke dalam bungkusan makanan.

Badan amal itu percaya seramai 400 orang telah menerima gula-gula yang terjejas dalam bungkusan yang diterima berkenaan. 

Gula-gula yang tercemar itu kemudiannya telah diambil untuk ujian apabila seorang individu berasa pelik selepas mula memakannya dan menyedari rasa pahit.

Methamphetamine boleh menyebabkan sakit dada, jantung berdegup kencang, sawan, mengigau dan tidak sedarkan diri. -Agensi/– HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -