PENGERTIAN orang kafir ini luas. Ada yang langsung tidak percaya kepada Allah. Ada yang percaya kepada Allah tetapi tidak menerima nabi sama ada Nabi Muhammad, Nabi Isa dan nabi-nabi lain.
Ada juga yang syirik seperti menduakan Allah, contohnya golongan Majusi yang percaya Allah ada dua iaitu Ahura dan Mazda.
Orang kafir yang syirik yang kedua ialah menyembah tiga Tuhan. Yang masyhurnya ialah Kristian yang disebut sebagai Triniti. Agama Hindu juga percaya kepada tiga Tuhan yang disebut sebagai Trimurti.
Dalam cerita Tamil lama, kita akan perasan sami mereka membawa lembing yang ada tiga mata. Tiga mata tersebut melambangkan tiga Tuhan iaitu Brahma (Pencipta), Shiva (Pemusnah) dan Vishnu (Pemelihara).
Oleh sebab itu, hari perayaan Deepavali merupakan hari merayakan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan. Ia disambut dengan memasang pelita. Pelita melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan.
Orang kafir yang syirik yang ketiga ialah percaya kepada Tuhan yang banyak seperti yang ada dalam agama Hindu juga. Di kuil, terdapat bermacam-macam jenis patung. Inilah melambangkan Tuhan mereka atau disebut sebagai dewa.
Dewa sebenarnya jin. Ia boleh terbang ke situ ke sini. Orang pada ketika itu menyembahnya sebab ia boleh terbang dari Barat ke Timur dalam masa yang cepat. Ia gagah, kuat dan boleh mengeluarkan api.
Dalam agama Cina pun sama, ada banyak Tuhan seperti Tuhan dapur dan Tuhan tangga. Mereka menyembah Tuhan di pelbagai tempat.
Golongan yang ketiga ialah orang munafik. Panjang kisahnya diceritakan dalam surah ini. Ada satu surah khas menceritakan mengenainya iaitu surah al-Munafiqun.
Sebab orang munafik lebih bahaya daripada orang kafir. Kalau orang kafir, kita dapat tengok kekufurannya tetapi kalau orang munafik, kita tidak dapat tengok.
Orang munafik ialah orang yang menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufurannya. Dia mengucap dua kalimah syahadah, pakai serban, pakai jubah, solat di belakang Nabi dan selalu duduk sekali dengan Nabi, tetapi di belakang, dia sentiasa mencari jalan untuk menghancurkan Rasulullah SAW.
Dalam Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat ke-145 ada menyebut:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَنْ تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
Orang munafik ini diletakkan di dalam neraka yang paling bawah.
Sebab kejahatan dan keburukannya lebih berat berbanding dengan orang kafir. Mereka juga membina masjid setelah masjid pertama yang dibina oleh Nabi iaitu Masjid Quba’.
Masjid tersebut dinamakan sebagai Masjid Dhirar. Mereka membinanya supaya orang meninggalkan Nabi dan solat di situ. Pada awalnya, Nabi tidak berbuat apa-apa.
Sehingga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi agar membakarnya. Sebab masjid tersebut nak memecahbelahkan orang beriman dan mencabar kedudukan Rasulullah SAW. Oleh sebab itu, kalau nak membina masjid, pastikan niat kita itu betul. – HARAKAHDAILY 14/8/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.