Chegubard dakwa miliki dokumen bukti kilang FELCRA sudah dijual

Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa belum mempunyai dokumen-dokumen yang menunjukkan bukti bahawa beberapa buah kilang FELCRA telah dijual.

“Modus operandi mereka ialah kilang dijual atau selindung atas nama ambil alih. Kilang FELCRA yang untung, tiba-tiba undang syarikat tauke Cina buka syarikat usaha sama di mana FELCRA hanya minority share (saham minoriti). Kilang diserahkan kepada syarikat usaha sama yang baharu.

“Contohnya kilang FELCRA di Samarahan kini diurus oleh FELCRA Jaya Samarahan Sdn. Bhd. yang mana syarikat tauke nama Great World Palm Oil Mill pegang majoriti 70 peratus share,” katanya dalam satu kenyataan melalui media sosial miliknya.

- Advertisement -

Beliau mendakwa, dalam dokumen berkenaan menyatakan bahawa FELCRA hanya mempunyai jumlah saham sebanyak 6 juta, manakala Great World Palm Oil Mill mempunyai jumlah saham sebanyak 14 juta.

“Contoh kedua ialah kilang FELCRA di Jayaputra, Pahang yang sebelum itu untung tiba-tiba diserahkan kepada syarikat usaha sama FELCRA Jayaputra Sdn. Bhd., di mana FELCRA hanya pemegang minoriti kecil. 

“Tengok juga maklumat perniagaan ia turut dipegang syarikat sama iaitu Great World Palm Oil Mill,” dakwanya lagi.

Menurut Chegubard lagi, kini beberapa kilang turut dalam peringkat akhir penjualan kepada syarikat KM Oil Consortium Palm Oil adalah syarikat berbeza, tetapi merupakan tauke yang sama.

“Dah macam iklan hotel, bilik yang sama tapi harga berbeza.

“Lebih menarik lagi, syarikat itu berdasarkan laporan Surahanjaya Syarikat Malaysia (SSM), ia adalah syarikat yang rugi.

“Bukan sahaja Ketua Umno Kelantan yang merupakan Pengerusi FELCRA, tetapi calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri ialah Ahli Lembaga Pengarah FELCRA kena jelaskan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

- Advertisement -