Calon BN tidak berani buat tawaran untuk rakyat

Dato' Paduka Dr Ibrahim Ali
- Advertisement -

GUA MUSANG: Tawaran yang dibuat calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail pada Ahad lalu dianggap tidak mampu ditandingi Umno kerana mereka tidak melaksanakan apa yang pernah dijanji pada pilihan raya lepas.

- Advertisement -

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, pemimpin BN tidak berani mengumumkan janji pada PRK DUN Nenggiri kerana kerajaan Madani banyak mungkir janji.

“Kerajaan sekarang gagal menurunkan harga minyak seperti dijanjikan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menjadi sekutu mereka dalam kerajaan.

“Dahulu janji harga minyak akan turun, hapus tol, PTPTN tak jadi, nak jadi apa lagi sebab itu tak berani buat tawaran di Nenggiri,” katanya pada ceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Sungai Terah di Kampung Star Baru, malam tadi.

Turut hadir Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Sheikh Razali Sheikh Hamad.

Ibrahim juga berkata, beliau mengenali rapat Pengarah PRK BN DUN Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah yang menolak Umno menjalin hubungan dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya perkara itu didedahkan Ku Li ketika beliau menziarahi pemimpin veteran Umno terbabit.

“Ambo pergi ziarah Ku Li, apa yang dia tak cakap. Ambo yakin dia tak mahu BN menang di Nenggiri, bukan dia sokong PAS, ambo tak kata dia sokong PAS, tetapi dia tak nak BN menang sebab keadaan negara makin getir,” katanya.

Kata beliau juga pendirian tegas Ku Li tidak membenarkan pemimpin DAP dan PH datang berkempen di Nenggiri kerana sejak awal lagi menolak kerjasama dengan parti tersebut.

Oleh itu katanya berdasar konflik yang berlaku melibatkan Umno dan PH, lebih baik rakyat di Nenggiri memberi kemenangan lebih besar kepada calon PN Sabtu ini.

Baru-baru ini, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN PRK DUN Nenggiri Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub dilapor berkata, manifesto calon BN hanya menjanjikan khidmat calon Azmawi Fikri Abdul Ghani kepada rakyat.

Sedangkan calon PN, Rizwadi Ismail menawarkan pelbagai segmen untuk rakyat meliputi khidmat masyarakat, hak rakyat, integriti dan amanah, daya ekonomi dan infrastruktur, masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera.

Selain itu anak muda berpendidikan dan berkemahiran serta trransformasi digital luar bandar. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!