KUALA LUMPUR: Sebilangan 25 peratus daripada penduduk Malaysia menyimpan ubat yang telah tamat tempoh di rumah.
Itu hasil kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya pada tahun 2021 mendapati hampir setiap rumah mempunyai lebihan ubat atau ubat yang telah tamat tempoh.
Apa yang lebih membimbangkan, kebanyakan ubat-ubatan ini dikumpul dan disimpan di dalam laci tanpa tidak diketahui apa yang perlu dilakukan dengan ubat tersebut, selain tidak tahu bagaimana untuk melupuskan dengan cara yang betul.
Itu perkongsian Pengarah Klinik Universiti Malaya, Dr Zuraidah Mohamed susulan daripada tanggapan orang ramai yang memandang remeh terhadap aspek pelupusan ubat-ubatan yang telah tamat tempoh atau tidak digunakan lagi.
“Ubat-ubatan yang telah tamat tempoh atau tidak digunakan boleh membawa risiko yang besar. Ini kerana, ubatan yang telah tamat tempoh mungkin telah kehilangan keberkesanannya dan boleh mengundang bahaya sekiranya digunakan.
“Sebagai contoh, penggunaan ubat antibiotik yang sudah tamat tempoh boleh menyebabkan kegagalan rawatan dan seterusnya meningkatkan risiko perkembangan bakteria tahan antibiotik.
“Malah, sekiranya penyimpanan ubat ini tidak cermat, ia akan mengundang risiko keracunan,”katanya.
Tambah beliau, berdasarkan statistik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dilaporkan terdapat 1,000 kes keracunan setiap tahun yang melibatkan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun akibat pengambilan ubat secara tidak sengaja.
“Ini terjadi apabila ubat tidak disimpan di tempat yang selamat.
“Angka ini sangat membimbangkan dan menunjukkan betapa pentingnya kita menguruskan ubat-ubatan dengan betul,” katanya.
Oleh yang demikian, menurut beliau, Klinik Universiti Malaya dengan kerjasama bersama Fakulti Farmasi, Jabatan Harta Benda, pasukan Safe D.U.M.P serta Pusat Pembangunan Lestari (UMSDC) telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan Program How to Safely Dispose of Your Expired or Unused Medicines?.
Kini, komuniti kampus boleh membawa lebihan ubat-ubatan atau yang telah tamat tempoh ke Klinik Universiti Malaya dan seterusnya meletakkannya di tong khas yang disediakan.
Beliau berkata, antara jenis ubatan yang diterima ialah kapsul, cecair, krim, suntikan dan ubat titis.
Sementara pensyarah Fakulti Farmasi, Dr Lee Hong Gee berkata, ubatan yang dibuang secara tidak betul seperti membuang ke dalam tong sampah, sinki mahupun tandas, boleh memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.
Menurut Dr Lee, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia telah menjalankan kajian ke atas beberapa sungai di Malaysia seperti di Sungai Klang, Sungai Penchala dan Sungai Langat, dan telah menemui kehadiran ubat-ubatan seperti paracetamol, ibuprofen dan diclofenac dalam sampel air sungai.
Tambah beliau, sekiranya ubat-ubatan ini tidak dilupuskan dengan baik ia boleh meresap ke dalam tanah dan sumber air. Seterusnya ini akan menyebabkan pencemaran dan membahayakan kehidupan akuatik serta ekosistem sekitar.
“Maka adalah amat penting bagi pesakit untuk menghabiskan ubat yang dipreskripsi oleh doktor serta menguruskan penyimpanan ubat dengan baik, bagi mengelakkan menjadi punca pencemaran ini,” ujarnya.
Beliau yang juga ketua penyelidik Safe D.U.M.P. turut berkata, program yang dilakukan ini merupakan inisiatif program yang baik yang dilaksanakan oleh Klinik Universiti Malaya.
“Saya yakin bahawa program ini memberikan pendidikan dan kesedaran kepada seluruh warga kampus dan juga komuniti setempat untuk menguruskan ubat-ubatan kita dengan lebih sistematik.
“Walaupun peranan yang boleh dimainkan mungkin berbeza, namun tindakan yang saling melengkapi dapat membantu merealisasikan hasrat murni ke arah kelestarian alam sekitar demi generasi akan datang.
“Pelupusan ubat-ubatan secara selamat adalah tanggungjawab semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2024