KUANTAN: “Saya undi YB pada PRU13 dulu.”
Itulah yang diucapkan oleh calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail kepada ADUN Beserah, Pahang, Andansura Rabu.
Andansura menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini, berkata Rizwadi pernah menjadi warga DUN Beserah lebih 10 tahun lalu.
“Ketika itu beliau berkhidmat di Pangkalan TLDM, Tanjung Gelang, Kuantan. Beliau masih ingat saya waktu bertemu semalam,” ujarnya.
Menurutnya, beliau ke Nenggiri sudah dua malam sejak Ahad lalu untuk memberi sokongan kepada sahabat-sahabat selain membantu kempen di sana.
Beliau berkata, Rizwadi memiliki personaliti yang bagus untuk menjadi wakil kepada rakyat di DUN Nenggiri.
“Kepimpinan yang baik, berilmu, berdisiplin antara ciri-ciri yang ada pada beliau,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berpandangan, persaingan pada PRK DUN Nenggiri nampak sengit.
Ini, ujarnya kerana DUN Nenggiri hanya dimenangi PAS/PN pada PRN15 yang lalu di mana sebelum itu merupakan kerusi tradisi UMNO/BN.
“Kita doakan mudah-mudahan Allah kurniakan kemenangan kepada Saudara Rizwadi hasil sokongan masyarakat di sana. Amin, insya Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/8/2024