KEMAMAN: Seekor penyu agar berusia sekitar 30 tahun dengan berat lebih 100 kilogram yang mendarat untuk bertelur di Pantai Ma’ Daerah, Kerteh, Kemaman telah dipasang alat pengesan sebelum dilepaskan kembali ke laut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Jabatan Perikanan Terengganu menggunakan alat canggih yang dinamakan Platform Terminal Transmitter (PTT) bertujuan mengesan pergerakan penyu tersebut.
“Alat pengesan ini dipasang pada penyu berfungsi memancarkan isyarat terus kepada satelit dalam kajian mengesan pergerakan penyu ke seluruh dunia.
“Setakat ini didapati, penyu yang pernah mendarat di Terengganu kemudian dipasang PTT, dalam tempoh lebih kurang setahun direkodkan pergerakannya berada di Jepun dan Filipina,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Azman juga menekankan bahawa penyu itu akan kembali ke tempat asalnya untuk bertelur sekaligus menunjukkan kebolehan luar biasa yang dimiliki reptilia lautan tersebut.
“Sebab itulah penyu digelar perenang yang sangat handal, bukan sebab merajuk,” katanya.
Kata Azman, jumlah pendaratan penyu di Terengganu menunjukkan peningkatan ketara dari tahun ke tahun.
“Sebagai contoh, spesies penyu agar mencatatkan 7,301 pendaratan pada tahun 2021, yang menghasilkan 429,371 biji telur.
“Jumlah ini meningkat kepada 9,618 pendaratan dengan 586,430 biji telur pada tahun 2022, dan bagi tahun 2023, sebanyak 10,120 pendaratan direkodkan dengan jumlah telur mencapai 750,527 biji,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024