Munafik, orang yang bermuka-muka

- Advertisement -

ORANG munafik bukanlah orang kafir yang kita ketahui jelas tidak beriman. Perangai orang munafik di atas dunia menyebabkan Allah memberi gelaran tersebut. Kata orang Melayu, mereka ibarat talam dua muka atau orang yang bermuka-muka. Sekejap begini, sekejap begitu.

Di hadapan Nabi, mereka kata mereka beriman. Di hadapan orang kafir, mereka kata mereka cuma berpura-pura sebab nak membodek Nabi. Disebabkan Nabi berkuasa, mereka tidak boleh berbalah dengan Nabi, jadi mereka berpura-pura.

- Advertisement -

Orang munafik hanya terdapat di Madinah, tiada di Makkah. Sebab di Makkah, hanya ada orang Islam dan orang kafir. Islam lemah. Orang berani melawan Islam secara terbuka. Orang berani buat khianat terhadap Nabi dan orang Islam seperti meludah, membuang najis unta dan mengata buruk. Sebab mereka tahu Nabi tidak boleh berbuat apa-apa.

Namun apabila Islam menjadi kerajaan dan ada kuasa di Madinah, orang munafik pun muncullah. Sebab mereka tidak boleh melawan. Kalau melawan, mungkin mereka akan dibunuh. Tidak mampu melawan, jadi akhirnya mereka berpura-pura.

Orang munafik, solatnya di belakang Nabi. Nak tunjuk dekat orang bahawa mereka bagus, padahal merekalah yang berbuat khianat dan berbincang dengan orang kafir macam mana nak menghancurkan orang Islam.

Begitu juga dengan dunia moden pada hari ini. Selagi Islam tidak menjadi kerajaan dan memerintah, orang akan berani melawan. Tetapi, apabila Islam menjadi kerajaan dan berkuasa, muncullah golongan munafik. ‘Makan dalam’ senyap-senyap seperti anai-anai, akhirnya tumbang. Banyak kerajaan dalam sejarah yang jatuh, puncanya daripada dalaman.

Contohnya, kejatuhan kerajaan Abbasiyah, Umaiyah, zaman sahabat, Turki uthmaniyah, Saljuk dan Melaka sendiri.
Mereka bukan menipu Allah, tetapi diri mereka sendiri. Contoh Perang Uhud, ada yang pergi separuh jalan, kemudian berpatah balik. Antaranya ialah Abdullah bin Ubai. Nabi mengenali mereka semua seorang demi seorang.

Seorang sahabat pernah meminta izin daripada Nabi untuk membunuh Abdullah bin Ubai, tetapi Nabi melarangnya. Anaknya bernama Abdullah yang mengetahui perangai bapanya itu mahu membunuh ayahnya sendiri, tetapi Nabi tetap melarangnya.

Kita mohonlah berlindung dengan Allah daripada golongan kafir dan munafik. Biar kita duduk dengan iman yang dijanjikan oleh Allah syurga dan segala kebaikan. Allah menjawab dalam surah al-Baqarah bahawa jalan yang benar ialah jalan orang yang beriman. Jalan orang kafir dan munafik adalah jalan yang tidak benar.

Dalam al-Quran, ada satu surah khas iaitu surah al-Munafiqun yang menceritakan perangai orang munafik. Nak kata, besarnya bencana dan bahaya orang munafik kepada Islam. Dalam beberapa surah lain juga, ada cerita mengenai orang munafik.

Kita juga perlu beringat sebab antara sifat orang munafik ialah malas solat dan solat di hujung waktu. Di hadapan orang, solat bukan main lama, bukan main banyak lagi kita buat. Ciri-ciri lain ialah bercakap bohong atau berdusta. Bukan orang munafik yang sebenar, tetapi inilah sifat-sifatnya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -