ALOR SETAR: Ahli-ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diminta mencari resolusi terbaik dengan menjadi pemudahcara kepada pelbagai isu berkaitan penjaja dan peniaga kecil di sekitar Bandar Raya Alor Setar.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya berkata, pejabat Menteri Besar, sering kali menerima aduan dari pelbagai pihak berhubung masalah yang berbangkit tersebut.
“Ada penjaja yang mengadu mereka diarah pindah ke tempat yang dianggap tidak wajar kerana bukan kawasan tumpuan. Dalam waktu yang sama terdapat aduan bahawa, aktiviti perniagaan tersebut telah menyulitkan pergerakan lalu lintas awam.
“Juga mengganggu lot parkir kerana berniaga atas lot parkir dan ada peniaga yang meninggalkan peralatan jualan di tepi jalan sehingga memburukkan pemandangan,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Oleh itu katanya, Ahli-ahli Majlis mesti bertindak sebagai pemudahcara agar semua pihak berpuas hati di samping peraturan sedia ada tetap dipatuhi.
Beliau terdahulu bersama Ahli Majlis MBAS telah membincangkan aduan tersebut dan meminta agar MBAS mencari jalan penyelesaian semasa perjumpaan yang diadakan di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini kelmarin.
Kata Zulkifli lagi, menurut aduan berkenaan, terdapat juga antara penjaja terbabit tidak memiliki lesen perniagaan ataupun lesen menjaja.
“Mereka mai (datang) buat aduan ke pejabat MB, jadi kami panjangkan ke pihak yang berautoriti dalam hal ini. Cuma nasihat saya, yang tak ada lesen itu mohonlah lesen segera,” tambah beliau lagi.
Antara lokasi yang seringkali menerima aduan adalah kawasan perniagaan di hadapan Lotus Mergong, Pasar Borong Mergong, pasar malam Jalan Putra dan beberapa lokasi lain.
“Kita pun sebenarnya sangat menggalakkan mereka berniaga, cuma harap dapat ikut peraturan yang ditetapkan. Kita nak jaga semua, peniaga pun nak jaga, orang ramai pun nak jaga.
“Kalau aduan kita tak buat apa-apa tindakan pun tak boleh. Harap MBAS dapat selesaikan perkara ini melalui perundingan dan mencapai situasi ‘win-win’ dengan peniaga,” kata beliau lagi.
Sementara Exco Kerajaan Tempatan, Mejar (B) Mansor Zakaria, ketika dihubungi berkata, pihaknya berharap masalah itu dapat ditangani segera demi keselesaan semua pihak. – HARAKAHDAILY 13/8/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!