GUA MUSANG: Parti kerajaan campuran PH-BN kini terkedu tidak tahu isu apa yang perlu digunakan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri dan bagaimana untuk memenangi hati rakyat.
Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Mohd Rizwadi Ismail berkata, apa yang berlaku dalam negara kini terutama kos sara hidup yang semakin meningkat menjadi kemarahan masyarakat pelbagai peringkat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu lawatan dari rumah ke rumah sekitar Kampung Renok.
Katanya, isu kenaikan harga diesel baru-baru ini telah menjadi bebanan penduduk negara ini khususnya yang berpendapatan rendah kerana terpaksa berhadapan dengan masalah berangkai.
“Apabila berlaku kenaikan harga diesel yang memuncak, barang keperluan juga menjadi mahal.
“Tiada jaminan kos sara hidup tidak meningkat walaupun kerajaan telah menghalangnya kerana ia tetap akan berlaku apabila kos pengangkutan meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024