KUALA LUMPUR: Media antarabangsa berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikuasai BlackRock Inc. (BlackRock).
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semalam beliau turut ditemu bual media antarabangsa seperti Al Jazeera mengenai penggantungannya daripada Parlimen Dewan Rakyat selama enam bulan.
“Ini kerana semuanya berkaitan dengan perjuangan rakyat Palestin dalam soal ‘boikot, nyah-labur dan sekatan ekonomi (BDS) berhubung isu BlackRock itu sendiri,” katanya dalam kenyataan akaun media sosial Facebooknya.
Menurut beliau, media antarabangsa sendiri juga mengetahui bahawa MAHB yang menguruskan lapangan terbang di Turkiye iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen.
Tambah beliau, dasar luar negara tersebut pada hari ini adalah amat tegas untuk tidak mahu adanya sebarang kerjasama dengan mana-mana syarikat yang bersifat pro-Zionis.
“Orang ramai perlu mengetahui bahawa dasar luar kerajaan Turki amat tegas dalam soal tidak mahu bersubahat dengan mana-mana entiti yang pro-Zionis seperti yang telah dikenal pasti oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Itu yang menarik minat media antarabangsa untuk tahu mengenai isu saya ditanggung Parlimen Dewan Rakyat selama enam bulan kerana semuanya berkaitan dengan BlackRock itu sendiri,” ujarnya.
Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula 17 Julai 2024 susulan dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ; yang mana kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
MAHB merupakan pemegang konsesi utama untuk lapangan terbang di Malaysia, dengan 39 lapangan terbang di seluruh negara di bawah pengurusannya.
MAHB turut memiliki satu lapangan terbang di Eropah iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA) yang berpangkalan di Turki.
Sehubungan itu, Fayhsal menyatakan majoriti rakyat negara ini benar-benar bimbang dengan isu MAHB memandangkan perkara tersebut adalah melibatkan aspek ekonomi, keselamatan dan kedaulatan serantau.
“Sekurang-kurangnya media antarabangsa boleh melihat perkara ini secara keseluruhan termasuklah kembimbangsan sebenar majoriti rakyat Malaysia dalam urusniaga MAHB ini berhubung aspek ekonomi, keselamatan dan kedaulatan serantau.
“Saya juga berterima kasih kepada pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) khususnya Datuk Nadzim Johan yang turut berkongsi kebimbangan dalam soal yang sama demi maslahah agama, bangsa dan tanah air,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024