Derhaka atau taat?

- Advertisement -

APABILA membaca kisah-kisah di dalam gambar di bawah sebegini, aku teringat akan sebuah kisah yang benar-benar berlaku kepada sebuah keluarga. Aku tidak tahu samada kisah ini menyedihkan atau memarakkan kemarahan kepada yang membacanya.

Dalam kasar ada lembutnya, dalam mengamuk ada ikhlasnya, dalam benci ada sayangnya, dalam bengis ada tanggungjawabnya. Mungkin kalian boleh memahami keadaan ini berdasarkan pengalaman hidup masing-masing.

- Advertisement -

Ia terjadi kepada sebuah keluarga besar yang mempunyai ahli yang lengkap. Waktu berlalu, ayah mereka meninggal dunia. Dengan susah payah ibu mereka membesarkan dan membela semua anak-anaknya itu. Kemudian ada antara anaknya yang telah dewasa dan mendapat kerja. Lalu berhijrahlah ke sana-sini mereka bagi memenuhi tuntutan tugasan itu.

Ibu mereka akhirnya dijaga oleh kakak sulung keluarga. Kata dia, sanggup menjaga ibunya. Maka bersetujulah semua adik-adiknya dengan keputusannya itu. Hiduplah mereka berasingan dan sering berkunjung menziarahi ibunya jika ada berkelapangan. Masa terus berlalu dan ibu mereka semakin uzur, bermakna beban kepada si kakak semakin bertambah.

Terkadang apabila adik-adiknya menziarahi, mereka melihat dan mendengar kakak mereka itu bertindak kasar, bersuara tinggi sewaktu menjaga ibu mereka. Mereka melihat itu sebagai sikap yang tidak patut, kurang ajar terhadap ibu sendiri. Jika tidak tahan menjaga ibu, bagitahulah, mereka boleh uruskan untuk mengambil tugas menjaga ibu.

Sampai kepada kemuncaknya, mereka, adik-adik berpakat untuk mengambil ibu mereka dari jagaan kakak kerana tidak tahan. Lalu satu pertemuan diadakan bagi menyatakan cadangan mereka itu kepada kakaknya. Setelah semua berkumpul, maka seorang menjadi wakil menyatakan hasrat penting mereka itu kerana sudah tidak sanggup melihatnya.

Setelah niat dan kritikan kelakuan kakak mereka diluahkan, kini giliran si kakak pula membalas hujahan mereka. Lalu ditunjukkan jarinya ke muka seorang demi seorang berserta disebutkan perangai masing-masing yang sudah dikenali. Kakak mereka menolak mentah-mentah hajat adik-adiknya itu. Dengan tegas kakaknya berkata…

‘Kamu semua mahu menjaga ibu? Lupakanlah niat kamu itu sebab aku tahu kamu semua tidak akan mampu menjaga ibu. Memang aku agak kasar dan bersuara kuat semasa menjaga ibu, tetapi aku yakin aku lebih baik daripada kamu semua. Biarlah aku seorang yang berdosa sebab berkasar dan bersuara kuat terhadap ibu, asal dia terjaga dengan baik.

Janganlah kamu juga turut berdosa kerana tidak tahan tekanan menjaga dia. Biar aku seorang menerima hukuman Allah, kamu semua jangan terkena juga,’ tegas si kakak sambil menitiskan airmata membalas kata-kata adik-adiknya kerana tahu adik-adiknya semua hanya bersemangat hangat seketika sahaja. Nanti tidak tahanlah mereka semua kerana belum diuji dengan karenah ibu mereka.

Jawapan kakak mereka itu mendiamkan semua adik-adiknya yang mungkin baru tersedar yang mereka tidak berkemampuan sebaik penjagaan kakak mereka itu walaupun terlihat kasar. Dengan komitmen atau permasalahan keluarga masing-masing, pastilah akan menambah beban kepada mereka jika tidak tahan dengan ujian menjaga ibu mereka ini.

Mereka kemudiannya sepakat akur dan terpaksa melupakan hal itu. Dan selepas itu, jika ada mereka terdengar keadaan yang kurang selesa, mereka akan membantu kakaknya supaya ia menjadi lebih baik.

Kita tidak tahu dengan ujian yang terkena kepada seseorang yang menyebabkan mereka bersikap berlainan daripada biasa. Tetapi cerita ini bagi aku sangat menyedihkan kerana kakaknya tersepit di antara dua keadaan.

Mahu menjaga ibu sebagai anak yang taat, tetapi dalam masa yang sama, menjadi derhaka dengan membuat dosa terhadap ibunya. Sedang orang lain pula tidak mampu melaksanakan sebaiknya. Semoga insan seperti ini mendapat keampunan dari Allah. Dia sudah mencuba yang terbaik, tetapi apakan daya, kelemahan sebagai manusia, pastinya ada.

*Mohon maaf, tidak tahu kepada siapa patut dikreditkan gambar ini. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -