Ada MB naik jadi Menteri: Rombakan kabinet kedua kerajaan?

Roslan Shahir (kanan) dan Amirudin Shari.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Ini masalah rumah tangga kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN), eloklah mana yang tidak perform direhatkan, termasuk yang banyak tabur janji kosong serta yang lebih banyak ber’selfie’ daripada bekerja.”

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata demikian sambil menegaskan bahawa beliau pasti, jika rakyat diberi hak membuat cadangan, ramai (ahli kabinet kerajaan) yang akan tercantas.

- Advertisement -

“Silap-silap lebih separuh (kena cantas) kerana banyak isu rakyat khasnya berkaitan kos hidup tidak selesai-selesai. Rakyat di bawah cukup kecewa,” katanya dalam Facebooknya.

Beliau menyatakan demikian mengulas satu laporan sebuah portal berita tempatan mengenai suatu rombakan kabinet kerajaan campuran dijangka diumumkan dalam waktu terdekat tidak sampai setahun dari rombakan terdahulu pada  Disember 2023. 

Menurut laporan portal berita itu lagi, sesiapa yang tidak berperanan dijangka digugurkan dan ada juga maklumat menyatakan bahawa seorang Menteri Besar (MB) dijangka dibawa ke Pusat, bermakna akan ada MB baharu untuk sebuah negeri.

Justeru menurut Roslan, pada perkiraan beliau, memandangkan PKR cuma ada dua Menteri Besar (MB), terdiri daripada MB Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun dan MB Selangor, Dato’ Seri Amirudin (Amir) Shari juga seorang Ahli Parlimen.

“Maka, besar kemungkinan jika ada rombakkan Amir akan naik ke Pusat dan perlu mengosongkan kerusi MBnya.

“Amir dahulunya banyak dikaitkan dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beliau buktikan kekuatan beliau dalam PKR apabila menang kerusi Naib Presiden walau diberi pelbagai label.

“Ketepikan sentimen politik, saya lihat Amir ini seorang pemimpin yang matang dan lebih terbuka berbanding pemimpin PKR lain termasuklah Presiden dan Timbalannya. 

“Beliaulah satu-satunya MB PH yang meluluskan peruntukan untuk Ahli Dewan pembangkang di negerinya sedangkan yang lain tidak termasuklah Perdana Menteri yang nafikan hak Ahli Parlimen pembangkang,” ulas Roslan.

Roslan berkata, Amir sedar yang peruntukan ini hak wakil rakyat dan jangan diguna sebagai alat untuk menekan rakyat kerana mengundi pembangkang.

“Sewajarnya jika dibawa ke Pusat, tempat paling sesuai buat Amir adalah jawatan Perdana Menteri.

“Saya yakin ramai yang boleh setuju. Biarlah PM yang lebih muda dan berwibawa pula pandu negara ini sementara PH-BN berkuasa.

“Apapun terpulanglah pada mereka. Sentimen rakyat kerajaan ini gagal dan harapan rakyat telah dikecewakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!