Penyerahan Jalur Gemilang semarak semangat patriotik

- Advertisement -

KANGAR: Sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang, acara penyerahan bendera Malaysia telah diadakan serentak di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri ini.

- Advertisement -

Program ini sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan rakyat yang dilaksanakan menerusi Konvoi Jalur Gemilang secara penjelajahan ke lapangan.

Bagi Parlimen Arau diketuai ADUN Simpang Empat, Razali Saad, manakala Parlimen Kangar diketuai ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil, sementara Parlimen Padang Besar diketuai ADUN Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan.

Di DUN Bintong, acara dimeriahkan lagi dengan pertandingan mewarna melibatkan kanak-kanak PASTI dengan turut disertai ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail menyambut konvoi tersebut di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) di sini.

Aktiviti ini bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan kreativiti anak-anak, tetapi juga untuk menyemai semangat cinta kepada negara sejak usia muda, selaras dengan tema Bulan Kebangsaan.

Sementara di DUN Guar Sanji pula, sebanyak 10 keping bendera Jalur Gemilang diserahkan kepada setiap kampung dalam kawasan tersebut.

Bendera-bendera ini perlu digantung dan dipasang di persimpangan kampung sebagai lambang semangat patriotisme yang semakin berkobar.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi-Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Guar Sanji turut menyambut konvoi kibar Jalur Gemilang di markas Kampung Semut Gatal pagi tadi. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!