MASJID TANAH: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Aliya Az-Zahra yang terletak di Taman Bandar Baru, di sini, terjejas teruk dilanda banjir berlaku semalam.
Guru Kanannya, Asrani Md Jani berkata, air mula naik kira-kira jam 2:00 petang semalam menyebabkan banjir setinggi kira-kira dua kaki di kawasan dalam premis.
“Banyak perabot rosak terutama perabot-perabot kayu. Buku-buku yang terletak di rak yang rendah habis rosak. Sesetengah tu yang pelajar tinggalkan.
“Ada stok uniform-uniform murid PASTI yang masih baru yang turut terkena air banjir. Peralatan mengajar pun ada yang rosak. Begitu juga karpet,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya belum dapat menganggar secara tepat kerugian yang berlaku, namun membuat anggaran awal bahawa ia mungkin melebihi RM2,000.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily sewaktu mengadakan gotong-royong membersihkan premis PASTI itu dengan bantuan Ahli Jawatankuasa PAS dan PASTI Kawasan.
Asrani turut menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan tenaga yang diberikan pihak PAS Kawasan dalam meringankan beban guru-guru untuk membersihkan premis tersebut.
Terdahulu, PASTI Aliya Az-Zahra turut dikunjungi Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman yang meninjau situasi banjir sekitar Kawasan Masjid Tanah.
PASTI Aliya Az-Zahra adalah satu-satunya PASTI yang terlibat dengan banjir pada kali ini manakala lapan lagi PASTI lain di dalam kawasan itu tidak terjejas.
Namun beberapa PASTI cawangan turut mengambil cuti pada hari ini bagi kawasan-kawasan yang penduduknya terlibat dengan banjir teruk. – HARAKAHDAILY 12/8/2024




Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!