Olimpik Paris 2024: Penganjuran antara terburuk pernah diadakan

- Advertisement -

TEMASYA sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris telah pun melabuhkan tirainya semalam.Selepas dua minggu penganjurannya, Malaysia berjaya memperoleh dua pingat gangsa yang disumbangkan oleh pemain badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Zii Jia. 

- Advertisement -

Namun, apa yang menarik perhatian dalam temasya kali ini adalah apabila ramai yang menganggap penganjuran pada kali ini merupakan antara yang terburuk pernah diadakan. 

Mana tidaknya, acara pembukaan saja sudah mula timbul kontroversi dengan mempersembahkan elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan beberapa persembahan yang dikatakan tidak menghormati sensitiviti agama.

Kualiti air di Sungai Seine yang tidak memuaskan telah menyebabkan beberapa siri latihan bagi acara triathlon turut dibatalkan, dan turut menyebabkan seorang atlet dari Belgium terpaksa menarik diri dari acara tersebut selepas dilaporkan dijangkiti penyakit E.coli. 

Selain itu, keadaan perkampungan dan tempat tinggal para atlet juga meraih perhatian ramai apabila atlet renang Itali, Thomas Ceccon yang memenangi pingat emas dalam temasya berkenaan dikatakan terpaksa tidur di taman berhampiran perkampungan olimpik kerana mendakwa kepanasan dan bunyi bising yang dialaminya sehingga sukar untuk tidur dan mendapatkan rehat yang cukup.

Isu jantina petinju Algeria 

Imane Khelif dari Algeria memenangi pingat emas welterweight mengalahkan Yang Liu dari China untuk acara tinju di Olimpik Paris 2024 dengan laluan penuh kontroversi, selepas lawannya sebelum ini dari Itali, Angela Carini, menarik diri daripada pertarungan mereka di Sukan Olimpik Paris.

Selepas itu muncul ramai pengkritik ‘yang tidak sepatutnya masuk campur’ termasuk masuk Donald Trump dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, telah menimbulkan isu kebimbangan mengenai jantina dalam sukan. 

Kejohanan Dunia 2023 sebelum ini membatalkan kelayakan Khelif kerana tahap testosteron yang tinggi, dan IOC menganggap keputusan itu sewenang-wenangnya dan cacat.

Khelif mempunyai kerjaya yang berbeza-beza dengan beberapa kejayaan dalam kejohanan serantau dan Sukan Olimpik Tokyo. 

Kemenangannya ke atas Carini baru-baru ini dalam masa hanya 46 saat telah memperhebatkan perdebatan tentang kelayakan dan keadilan jantinanya dalam sukan.

Pengulas telah mengkritik proses kehilangan kelayakan IBA kerana kekurangan ketelusannya. IOC menegaskan tiada konsensus saintifik atau politik wujud mengenai jantina dan keadilan. 

Kecoh pingat lusuh

Terbaharu, kualiti pingat gangsa yang diberikan kepada pemenang dalam temasya Olimpik kali ini dikatakan mempunyai kualiti yang sangat rendah. 

Ini kerana menurut perkongsian beberapa atlet serata dunia, pingat gangsa itu dikatakan telah lusuh dan karat selepas tidak sampai seminggu diperoleh.

Antara yang berkongsi masalah berkenaan di media sosial adalah atlet skateboard Amerika Syarikat, Nyjah Huston yang menulis “Pingat Olimpik ini kelihatan bagus apabila ia masih baru, tetapi selepas membiarkannya melekat pada kulit saya dengan sedikit peluh dan kemudian membiarkan rakan saya memakainya pada hujung minggu, nampaknya ia tidak berkualiti tinggi seperti yang anda sangka.”

Netizen yang melihat perkongsian berkenaan di laman X kemudiannya memberikan jawapan balas terhadap isu tersebut. 

Antaranya ialah @LeroyLeroi001 yang menulis “Ia merupakan simbolik terhadap apa yang berlaku di Barat.”

Nama pengguna @_LordTweet pula menulis, “saya pernah melihat kualiti yang lebih baik pada mainan Happy Meal, dan @TomNJ2 turut menyuarakan pandangannya dengan memberikan komen “wow, sekeping sampah.”

Rentetan daripada itu, pemain badminton Denmark, Viktor Axelsen turut berkongsi video menerusi laman X beliau mengenai perbezaan pingat emas Olimpik Tokyo dengan Olimpik Paris yang dimenanginya.

@SatyamInsights yang melihat perkongsian berkenaan menulis, “Pingat Olimpik Tokyo 2020 tampak mahal, manakala Paris sekadar ‘meh.’

Sementara, @KPN1790 pula menulis “Pingat murah di Paris. Gangsa menjadi lusuh, emas hilang ‘kelasnya.’

Benarlah bagai dikata, negara-negara barat yang kononnya dianggap sebagai maju dan moden dari segala aspek hanyalah sekadar ‘indah khabar dari rupa’. 

Segala pandangan yang menganggap penganjuran temasya Olimpik pada tahun ini sebagai antara yang terburuk ada betulnya.

Acara pembukaan yang sudah pun penuh kontroversi boleh dianggap sebagai ‘hulu malang pangkal celaka’ sepanjang tempoh penganjurannya selama dua minggu itu. 

Semoga temasya Olimpik pada masa akan datang  akan menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -