Nenggiri: ‘Kerajaan Madani takut dengan bayang-bayang sendiri’

Razman Zakaria
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kerajaan Madani takut dengan bayang-bayang sendiri kerana ‘perpaduan’ yang dibanggakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya berani dibuat secara tersembunyi dari awal perbincangan di Nenggiri.”

Itu penegasan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang juga berkata bahawa rakyat sememangnya telah muak dengan pendirian Madani dan ia telah pun disedari oleh kerajaan. 

- Advertisement -

“Kenaikan harga barang, pemansuhan subsidi, kebebasan bersuara disekat serta segala jenis kezaliman dan huru-hara yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) hakikatnya menjadi mimpi ngeri buat rakyat termasuk penduduk Nenggiri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Tamah Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol,  Kerajaan Madani menyorokkan kerjasama antara Umno-Zahid dan DAP di Nenggiri hanyalah strategi untuk menutup kelemahan yang nyata.

“Mana mungkin hubungan ‘perkahwinan’ yang sedang berlaku di peringkat pusat tidak akan turut diamalkan di Nenggiri juga.

“Walaupun tanpa kehadiran DAP di Nenggiri, Umno-Zahid tidak dapat menafikan bahawa calon mereka adalah calon Kerajaan Madani yang di dalamnya ada DAP sebagai ‘abang besar’,” katanya.

Beliau berkata, perkara ini akan menjadi pertimbangan besar kepada rakyat Nenggiri dalam memilih pemimpin yang akan mereka undi.

“Di tanah yang majoriti Melayu ini pasti tidak akan ada ruang kepada mereka yang gagal membela nasib rakyat dan hak orang Melayu.

“Misi Umno-Zahid yang konon hendak membuktikan penerimaan BN semula di Kelantan juga mungkin akan kekal sebagai mimpi selagi parti ini bersekongkol dengan PH yang diterajui DAP,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Kelantan, Azaha Abd Rani menyatakan rasa kecewa terhadap sikap Umno dan menyatakan bahawa ahli dan penyokong DAP di Nenggiri bebas membuat pilihan memilih mana-mana sahaja parti ketika hari mengundi 17 Ogos ini.

Azaha berkata, DAP Pusat telah pun mengeluarkan arahan agar DAP Kelantan tidak melibatkan diri langsung dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu mungkin kerana Umno menyangka mereka sudah terlalu kuat di sini. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -