Kurangkan sentimen, campur tangan politik dalam institusi sukan

Afnan Hamimi Taib Azamudden
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai peranan yang sangat penting bagi meletakkan keutamaan pada sukan prospek emas, dan sukan yang berpotensi menyumbang emas kepada negara seperti acara basikal dan badminton.”

Itu penegasan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengulas mengenai pasca temasya Sukan Olimpik Paris dan cabaran negara menjelang Olimpik Los Angeles 2028.

- Advertisement -

“Semua atlet negara dan pelapis-pelapis perlu diberikan latihan khas, seawal tahun ini supaya mereka cukup bersedia untuk kejohanan olimpik akan datang, sepertimana Datuk Lee Chong Wei dan Dato’ Azizulhasni Awang digilap daripada awal sehingga mereka berjaya mencipta nama di persada antarabangsa dengan luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), apa yang paling utama, sentimen dan campur tangan politik perlu dikurangkan dalam institusi sukan. 

“Adalah jelas, politik dalaman dalam instiusi sukan menjadi asbab potensi atlet tidak dapat digilap sebaiknya. 

Elemen ini juga antara punca yang memalapkan kecemerlangan institusi sukan negara,” tegas beliau yang juga Ketua Portfolio Belia dan Sukan PN.

Sukan Olimpik Paris 2024 telah rasmi menutup tirainya semalam, dengan Malaysia menduduki tangga ke-80 selepas hanya merangkul dua pingat gangsa. 

“Kedudukan ini menunjukkan prestasi negara yang merundum sejak Olimpik 2004.

“Namun, ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah perlu diberikan kepada semua atlet negara kerana telah bersungguh-sungguh memberikan persembahan yang terbaik dalam setiap acara mereka. 

“Ternyata, semangat juang mereka terus membara biarpun sudah ketinggalan jauh di belakang lawan, dan bijak memanfaatkan masa berbaki dengan sebaiknya demi mencapai keputusan yang terbaik,” tambah Afnan.

Beliau bagaimanapun menyatakan, prestasi yang merundum di acara Olimpik Paris 2024 tidak seharusnya dilihat sebagai kegagalan industri sukan negara. 

Sebaliknya, ujar Afnan, ia perlu dijadikan ‘batu loncatan’ kepada atlet-atlet untuk meneruskan momentum kecemerlangan, sebelum memasuki Olimpik yang seterusnya – Olimpik Los Angeles 2028.

Tambah Afnan, kesemua pemenang pingat dan atlet yang hampir memenangi pingat merupakan atlet muda yang bakal memberi saingan yang cukup hebat dalam Sukan Olimpik 2028 yang bakal berlangsung di Los Angeles.

Justeru,  beliau menegaskan usaha harus digembleng dengan lebih proaktif demi menjayakan misi menamatkan kemarau emas oleh atlet negara. 

“Maka, marilah kita menanamkan azam dan optimis, bahawa kita bakal menamatkan kemarau emas Olimpik pada tahun 2028.

“Oleh itu, usaha proaktif digerakkan bermula hari ini, demi merangka kejayaan yang seterusnya dan mengangkat nama Malaysia di mata dunia dalam industri sukan.

“Tahniah kepada semua atlet negara kerana berjaya membawa nama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024. Andalah wira kami, anda wira negara!” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -