Jepun: Lapangan terbang ditutup, pesawat Singapore Airlines berasap

- Advertisement -

NARITA: Landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita terpaksa ditutup selama hampir 50 minit pada Isnin selepas terdapat laporan mengenai asap putih datang dari pesawat Singapore Airlines yang melakukan pendaratan.

Pesawat dengan kod penerbangan SQ638 itu membawa 276 penumpang dan anak kapal itu kemudiannya mendorong enam jentera bomba dan dua ambulans bergegas ke tempat kejadian, iaitu di landasan B lapangan terbang berkenaan yang ditutup sekitar 7.40 pagi waktu tempatan, lapor Alarabiya News.

Pihak keselamatan bagaimanapun tidak menemui sebarang tanda-tanda kebakaran dan tiada individu yang mengalami sebarang kecederaan, kata pegawai lapangan terbang dan bomba.

- Advertisement -

“Kami menerima laporan asap putih yang muncul dari enjin sebelah kiri. Tetapi tiada tanda kebakaran dan tiada sesiapa yang cedera,” katanya yang turut memaklumkan bahawa anggota bomba meninggalkan tempat kejadian selepas memantau pesawat berkenaan selama lebih sejam.

Menurut kenyataan Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun di lapangan terbang berkenaan, pesawat Boeing 787 yang terlibat dalam insiden itu mungkin mengalami masalah ketika mendarat.

“Mereka memaklumkan bahawa terdapat kemungkinan ia mengalami masalah apabila ia mendarat. Serpihan tayar ditemui di landasan, namun tiada maklumat lanjut boleh diberikan mengenai kejadian itu,” katanya. -Agensi/– HARAKAHDAILY 9/8/2024

- Advertisement -