‘Jadilah pencipta kandungan yang berpendidikan’

- Advertisement -

SEIRING dengan kemajuan teknologi dan peningkatan penggunaan media sosial, peranan pencipta kandungan (content creator) atau pencipta kandungan amat penting dalam membentuk pandangan dan sikap masyarakat.

Namun begitu, tidak semua kandungan yang dihasilkan memberikan manfaat kepada penonton, khususnya golongan muda yang terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif.  

- Advertisement -

Seorang pendakwah bebas, Ustazah Asmak Husin yang sering memperjuangkan nilai-nilai Islam dalam masyarakat, baru-baru ini mengeluarkan amaran kepada ibu bapa agar lebih peka terhadap kandungan yang ditonton oleh anak-anak mereka di platform seperti YouTube. 

“Ibu-ibu mohon pantau anak-anak awak tengok dan follow siapa di YouTube,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan tular satu video yang mempromosikan gaya hidup bebas antara lelaki dan perempuan serta budaya prank yang tidak mendidik. 

YouTuber terkenal, Ammar Nazhan dikecam kerana membuat content yang memaparkan seorang wanita berpurdah bergaul dengan sekumpulan wanita lain dan juga beberapa orang lelaki.

Asmak Husin

Apa yang merisaukan, dalam potongan video yang tular di X itu, wanita berpurdah itu seakan meminta penjelasan mengapa dia tidak boleh berkawan dengan Ammar sahaja.

Ia seolah-olah menggambarkan wanita berpurdah itu terlalu mahu merapatkan diri dengan lelaki dan ianya bertentangan dengan tujuan berpurdah.

Asmak meluahkan kebimbangan terhadap kandungan berkenaan yang secara terang-terangan mempromosikan gaya hidup bebas, pergaulan tanpa batas antara lelaki dan perempuan, serta normalisasi budaya bercinta dan prank.

Beliau turut mempersoalkan apa yang akan terjadi kepada generasi akan datang jika mereka terus dibesarkan dengan menonton kandungan sebegitu.

Asmak juga menyatakan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja menjatuhkan imej agama tetapi juga merendahkan martabat individu yang mengenakan imej tersebut.

“Yang terbaharu,konten wanita berpurdah. Tak cukup lagi ke dengan content murahan yang lain, sekarang nak menjatuhkan pula imej agama seperti wanita berpurdah dan imej berkopiah. Apa tujuan mereka sebenarnya?

“Umur dah nak masuk 30 tahun, tapi kandungan yang dihasilkan asyik berkisar perkara sama. Setiap kali ada talent baru masuk, mesti jatuh cinta dan cemburu. Mentaliti content yang sangat rendah, sangat kebudak-budakan dan tak bermanfaat langsung.

“Saya difahamkan, ramai yang menonton konten ni adalah daripada kanak-kanak dan budak-budak bawah umur,” katanya.

Justeru, beliau menyeru kepada semua pihak, terutama ibu bapa dan penjaga, untuk melindungi anak-anak daripada pengaruh negatif kandungan ini dengan cara memboikot dan melaporkan akaun YouTuber yang menghasilkan kandungan tidak bermoral. 

Tindakan itu penting untuk memastikan anak-anak muda tidak terjebak dalam budaya yang tidak sepatutnya.

Asmak juga mengingatkan kepada Muslimah agar tidak terpengaruh dengan kandungan sebegitu dan mengekalkan maruah diri serta maruah sebagai seorang Muslimah. 

“Untuk adik-adik muslimah, janganlah awak tonjolkan diri awak seperti konten ini, awak sebenarnya sedang jatuhkan maruah awak dan maruah seorang Muslimah. Lebih-lebih lagi bila awak datang dengan imej berpurdah dalam content bercampur baur macam ni.

“Saya menyeru kita report YouTuber sebegini,” katanya.

Sementara itu, beliau mengajak orang ramai mengambil contoh nasihat yang diberikan oleh Khairul Aming, seorang pencipta kandungan yang terkenal dengan kandungan berpendidikan.

“Kata Khairul Aming, kalau nak jadi pencipta kandungan, jadilah pencipta kandungan yang berpendidikan. 

“Apabila hendak hasilkan konten, fikirkan adakah konten tersebut memberi impak yang baik pada orang lain.

“Ini kerana setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja mempengaruhi minda penonton tetapi juga membentuk norma dan budaya dalam masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

- Advertisement -