KUALA LUMPUR: “Saya ingin menyatakan kebimbangan yang disuarakan oleh rakyat kepada saya terhadap isu pelaksanaan sistem e-invois yang sedang diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).”
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia merupakan isu besar, bukan sahaja akan memberi kesan besar kepada syarikat-syarikat besar, tetapi juga kepada usahawan kecil dan sederhana serta peniaga-peniaga kecil di seluruh negara.
Isu timbul apabila baru-baru ini, kerajaan Malaysia melalui LHDN telah memperkenalkan sistem e-invois, sebuah inisiatif yang dikatakan membawa sistem percukaian yang lebih telus dan efisien.
“Sistem ini akan mula berkuatkuasa secara berperingkat bermula 1 Ogos 2024 (untuk syarikat berpendapatan lebih RM100 juta), kemudian 1 Januari 2025 (untuk syarikat berpendapatan RM25 juta hingga RM 100 juta) dan menyasarkan untuk merangkumi semua perniagaan menjelang 1 Julai 2025,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Amzad, e-invois dikatakan bertujuan mengurangkan kebocoran hasil dan memastikan ketelusan dalam transaksi perniagaan dengan menyediakan platform digital untuk semua invois.
Namun, kata beliau, peralihan tersebut telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat, khususnya peniaga kecil dan sederhana yang mungkin berhadapan dengan penambahan kos untuk pelaksanaannya, adaptasi teknologi yang belum matang dan penambahan latihan baharu.
Menurut Amzad lagi, pelaksanaan e-invois LHDN ini menimbulkan beberapa isu yang perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.
Adaptasi orang ramai dengan polisi baharu
“Pertama, masyarakat perlu adaptasi dahulu dengan polisi baharu. Isu paling besar yang kerajaan sering terlepas pandang ialah kebolehan rakyat beradaptasi dengan cara yang baharu.
“Ini kerana tidak semua peniaga mempunyai kemahiran teknologi yang diperlukan untuk mengendalikan sistem e-invois.
“Untuk menangani hal ini, kerajaan perlu sekurang-kurangnya menyediakan sokongan dan latihan yang mencukupi untuk memastikan semua peniaga dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang baharu ini,” jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Isu kedua yang timbul, tambah beliau, ialah e-invois melibatkan semua kategori peniaga.
“Peniaga kecil seperti penjual pasar malam dan usahawan atas talian pun mungkin akan dilibatkan dengan sistem e-invois.
“Menurut portal LHDN, e-invois mula berkuatkuasa secara berperingkat bermula tahun 2024 dan menyasarkan untuk merangkumi semua perniagaan menjelang Julai 2025.
Justeru, adakah sistem ini sesuai untuk diaplikasikan kepada semua jenis perniagaan, termasuk yang sangat kecil dan tidak formal?
“Kerajaan dilihat tidak celik dengan hal ini, akhirnya akan menjadikan peniaga kecil mangsa, yang kita ketahui keaadannya ‘kais pagi makan pagi , kais petang makan petang’,” tegas Amzad.
Kos pelaksanan meningkat
Seterus isu ketiga, katanya, e-invois meningkatkan kos pelaksanaan.
“Banyak peniaga kecil akan berdepan dengan kos tinggi untuk melaksanakan sistem e-invois ini.
“Kalau dulu sebuah kedai ada seorang juruwang dalam satu masa, sekarang mungkin kedai tersebut perlukan dua orang juruwang, kerana ada penambahan kerja untuk memasukkan data pelanggan untuk setiap transaksi dan perlu membuat invois pula andai pelanggan meminta invois.
“Polisi sebegini akan meningkatkan beban pelaksanaan, lebih-lebih lagi kepada peniaga-peniga kecil yang berniaga untuk menampung keperluan perbelanjaan keluarga dan membantu masyarakat.” jelas beliau lagi.
Bangkit, bincang isu di Parlimen
Justeru sebagai pembangkang, beliau berikrar akan memastikan bahawa isu-isu berkenaan dibangkitkan dan dibincangkan dengan teliti di Parlimen.
“Saya sendiri berikrar akan menjadi suara kepada rakyat yang terkesan dan memastikan kerajaan mengambil langkah-langkah yang sesuai untuk mengurangkan beban ke atas peniaga-peniaga kecil,” kata beliau.
Namun begitu beliau berkata, niat kerajaan untuk melaksanakan dasar percukaian yang lebih telus melalui e-invois ini sememangnya usaha yang bagus dan boleh disokong.
“Saya selaku mantan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sentiasa menyokong segala usaha menginovasikan muamalat dengan menggunakan teknologi,” ujarnya.
Namun, Amzad berpandangan bahawa pelaksanaan e-invois perlu dilakukan dengan berhati-hati.
“Saya sarankan agar kategori perniagaan yang berpendapatan RM25 juta ke atas diberikan fokus pelaksanaan terlebih dahulu, sekurang kurangnya setahun dalam masa yang sama, untuk kategori terutamanya peniaga kecil diberikan insentif sebagai galakan untuk beralih kepada sistem baharu berkenaan.
“Saya juga menyeru kepada kerajaan untuk mengadakan dialog dengan pihak berkepentingan, termasuk peniaga kecil dan sederhana, untuk mendapatkan pandangan dan cadangan mereka sebelum melaksanakan e-invois ini secara menyeluruh pada Julai tahun hadapan.
“Kerjasama antara kerajaan dan rakyat amat penting untuk memastikan kejayaan pelaksanaan sistem ini tanpa menjejaskan ekonomi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024