MASJID TANAH: Kejadian banjir kilat yang teruk melanda Bandar Masjid Tanah semalam menyebabkan sebahagian besar premis perniagaan ditutup hari ini.
Bukan sahaja kedai-kedai perniagaan biasa, turut menutup sementara operasi untuk tujuan pembersihan ialah bank dan restoran makanan segera.
Sebahagian besar kedai tidak beroperasi hari ini bagi membolehkan mereka melakukan pembersihan dan mengasingkan barang-barang yang rosak.
Tinjauan Harakahdaily mendapati kebanyakan kedai mengeluarkan barang-barang yang terkena banjir sama ada membuangnya atau menjemur untuk cuba mengeringkan barangan masih boleh digunakan.
Dalam kejadian yang berlaku semalam, air mula naik sedikit demi sedikit bermula jam 1:00 tengah hari dan melepasi paras 1 meter di sesetengah tempat menjelang jam 2:00 hingga 3:00 petang memaksa semua premis menghentikan operasi.
Ia berpunca daripada hujan sangat lebat yang mula turun sekitar jam 9:00 pagi lagi dan berlarutan sehingga tengah hari menyebabkan berlakunya banjir.
Polis membantu orang ramai yang terperangkap di dalam banjir untuk keluar dari kawasan tersebut melalui kawasan-kawasan tertentu yang dikenal pasti selamat.
Air dilaporkan surut sekitar jam 8:00 malam membolehkan sebahagian pemilik-pemilik premis memasuki premis mereka untuk melihat kerosakan yang berlaku.
Kebanyakan penduduk menyifatkan banjir yang berlaku itu adalah terburuk dalam tempoh 15 tahun di mana bukan sahaja melibatkan kawasan Bandar Masjid Tanah, tetapi turut melibatkan beberapa kawasan kampung sehingga ke Alor Gajah. – HARAKAHDAILY 12/8/2024




Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!