Umum keluar parti: Strategi ‘zaman dinasour’

- Advertisement -

SEKITAR tahun 80-an dan 90-an sokongan terhadap PAS di Negeri Melaka tidak sekuat sekarang. Ahli-ahli PAS negeri itu tidak ramai dan cawangan PAS tidak banyak. Kalau ada cawangan pun ahlinya tak ramai.

- Advertisement -

Dalam satu pilihan raya pada waktu itu, tiba-tiba BN mengumumkan seramai 200 orang ahli PAS di sebuah cawangan di Bandar Melaka keluar parti. Berita itu nampak sebagai sesuatu yang luar biasa kepada orang ramai. Ramailah yang percaya.

Tetapi lain halnya pada orang-orang PAS di Melaka ketika itu. Mereka tidak susah hati atau kecewa. Tetapi mereka tertawa kelucuan. Ini adalah kerana ahli sebenar cawangan tersebut tidak sampai 30 orang pun.

Jadi, macam mana cawangan yang ada 30 ahli, tetapi yang keluar parti masuk Umno seramai 200 orang? Adakah dikira sekali dengan kucing, kambing dan lembu mereka sekali?

Strategi ini terus menerus menjadi penyeri kepada Umno-BN sehingga menjadi acara wajib setiap kali ada pilihan raya di mana-mana sahaja wujudnya parti itu.

Kadangkala memang ada seorang dua bekas ahli atau pemimpin PAS yang keluar parti. Tetapi yang menjadi tanda tanya ialah jumlah mereka yang mengikuti pemimpin keluar itu jumlahnya ‘beranak-pinak’ dan ‘berhantu raya’.

Yang keluar tu mungkinlah dua tiga orang. Tetapi diumumkanlah sebagai 200, 300 atau 500 orang mengikuti sekali. Sebab tak ada siapa yang akan dapat mengira dengan tepat jumlah sebenar. Hanya Setiausaha Cawangan sahaja yang tahu jumlah sebenar.

Sehingga satu ketika dahulu di zaman pemerintahan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, perkara ini berlaku secara berleluasa.

Maka pada waktu itu terjadilah satu jenaka yang mana ramainya ahli PAS yang dikatakan keluar parti di Kelantan ketika itu bagaikan hanya Allahyarham Tok Guru seorang sahaja yang masih tinggal belum keluar parti.

Pernah satu ketika sewaktu Tengku Razaleigh membubarkan partinya, parti Semangat 46 sekitar pertengahan tahun 90-an, tiba-tiba ada beberapa orang PAS yang isytihar keluar parti untuk menyertai parti Semangat 46.

Pada hal tak beberapa lama sahaja selepas itu semua ahli parti Semangat 46 itu akan bertukar menjadi ahli Umno. Jadi apa perlunya ahli-ahli PAS itu mengisi borang dua kali? Mula-mula kena borang Semangat 46 dan kemudiannya mengisi borang Umno hanya dalam jangkamasa beberapa hari sahaja.

Pada zaman ini pula, di saat hangatnya berlangsung Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri, tiba-tiba baru-baru ini dikatakan ahli BERSATU di Kawasan Gua Musang keluar parti. Katanya ramai.

Yang terkini pula katanya pimpinan-pimpinan BERSATU di Kawasan Jeli pula keluar beramai-ramai. Lepas ini tidak tahu siapa dan berapa ramai lagi.

Begitulah taktik ini terus berjalan sejak ‘zaman dinasour’ sehinggalah ke hari ini. Tanpa melihat kepada betapa taktik ini terlalu ketinggalan zaman, ia terus digunakan Umno-BN sehingga ke hari ini.

Di zaman kereta hampir nak terbang ini Umno-BN sepatutnya memikirkan taktik lain yang lebih ‘up to date’ berbanding taktik ini semakin diketawakan orang itu.

Tak mengapalah. Kita tengoklah keputusannya nanti apa yang akan jadi pada keputusan PRK Nenggiri kali ini. PERIKATAN NASIONAL menang pada PRN lepas di Nenggiri dengan majoriti 810 undi. Yang keluar BERSATU pula 400 orang katanya.

Kalau ikut logik matematik calon PERIKATAN NASIONAL boleh kalah, atau kalau menang pun majoriti undinya akan merosot. Tengoklah nanti.

Di PRK Sungai Bakap yang disandang PERIKATAN NASIONAL dulu pun diramal kalah kerana terlalu banyak faktor yang boleh membuatkan PERIKATAN NASIONAL kalah.

Antara alasannya ialah tahap pendidikan calon PH-BN yang melangit; kalau PN menang wakil rakyat mereka tak dapat peruntukan; dua bilik gerakan PN dikatakan tutup; kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kedua-duanya di bawah PH-BN; segala jentera kerajaan PH-BN dikerah bantu kempen dan banyak lagi.

Seperti yang kita semua tahu, akhirnya yang menang dengan jumlah majoriti undi lebih besar pada PRK Sungai Bakap itu ialah PERIKATAN NASIONAL. Jadi kita tengoklah keputusan di PRK Nenggiri ini nanti. – HARAKAHDAILY 11/8/2024