GUA MUSANG: Pendedahan akhbar Pertahan Nenggiri, laman berita Media Point Kelantan dan Harakahdaily berkaitan banyak rumah generasi kedua Kesedar dan Felda tiada bekalan elektrik menyebabkan pemimpin Umno jadi kelam kabut.
Sejurus selepas keluar berita terbabit, pemimpin Umno termasuk setiauasaha agungnya, Datuk Dr Asraf Wajdi Dasuki dipercayai mengunjungi segera rumah terbabit.
Kunjungan pemimpin Umno terbabit diviralkan di media sosial di mana Asraf meminta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung Persekutuan (JPKKP) menandangani borang sokongan bagi permohonan bekalan elektrik.
Penghulu DUN Nenggiri, Hadi Daud berkata, Setiausaha Agung Umno dan pasukan kempen Umno berkunjung ke rumah generasi kedua yang tiada bekalan elektrik.
Katanya, pada viral tersebut pemimpin Umno meminta Pengerusi JPKKKP menandatangani borang sebagai sokongan permohonan generasi kedua bagi mendapat bekalan elektrik.
“Saya difahamkan pemimpin Umno hanya mengunjungi rumah generasi kedua bukan aktif bersama PAS,” katanya di sini.
Baru-baru media PRK, Pertahan Nenggiri mendedahkan tiga rumah generasi kedua di Kesedar Jeram Tekoh tiada bekalan elektrik kerana tidak mendapat sokongan pengurusan Kesedar.
Berikutan itu mereka terpaksa membuat sambungan elektrik dari rumah berdekatan, memasang generator dan panel solar.
Manakala di Felda Perasu anak peneroka Marlida Mat Dan, 40, terpaksa menggunakan generator dan solar membekalkan tenaga elektrik di kediamannya yang siap dua tahun lalu. (Foto atas)
Katanya beliau terpaksa membelanjakan kira-kira RM50,000 untuk membeli generator selepas haknya dinafikan oleh pengurusan agensi kerajaan persekutuan itu.
Selain itu beliau membelanjakan sebanyak RM1,500 sebulan untuk membeli diesel dan petrol untuk menjana elektrik.
Hadi berkata, pendedahan akhbar Pertahan Nenggiri, portal Media Point Kelantan.co dan Harakahdaily membuatkan Umno berlagak menjadi juara bagi menyelesaikan masalah rakyat.
Sedangkan katanya isu tersebut sudah lama berlarutan namun tiada tindakan daripada mereka dan agensi kerajaan.
“Saya dimaklumkan ada rumah generasi baru dibenarkan membayar deposit kepada TNB bagi membolehkan sambungan eleetrik dibuat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/8/2024