Pasang bendera terbalik tidak boleh dianggap ringan

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Persatuan Kwongsai Kuala Kangsar digesa agar memohon maaf secara terbuka khususnya kepada rakyat Malaysia atas  pemampangan bendera Malaysia secara terbalik di bangunan mereka.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Mior Muhammad Faris Mior Abd Rahman berkata, dalam masa yang sama Persatuan Kwongsai perlu berjanji tidak mengulangi lagi ‘kesilapan’ sama pada masa akan datang.

“Sebelum ini kejadian seumpama itu sering berlaku tetapi yang hairannya hanya berakhir dengan permohonan maaf atas alasan kononnya tersilap.

“Permohonan maaf bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab, tetapi juga sebagai komitmen untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan,” tegas beliau.

Kata Mior lagi, sungguhpun kedudukan bendera Malaysia itu telah dibetulkan semula, tetapi hal ini seolah-olah sengaja dilakukan untuk ‘menguji’ reaksi dan tindakan rakyat Malaysia khususnya di daerah itu.

Apatah lagi tambahnya, perkara itu berlaku di Kuala Kangsar yang terkenal sebagai Bandar DiRaja.

“Bermain-main dengan simbol ini ibarat bermain api yang boleh memusnahkan asas perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

“Perbuatan itu juga mencerminkan pengkhianatan terhadap kedaulatan dan maruah negara yang tidak boleh diterima oleh mana-mana pihak yang menjunjung tinggi nilai patriotisme,” kata beliau lagi.

Justeru ujarnya, isu pemampangan bendera Malaysia secara terbalik seperti yang terjadi di bangunan Persatuan Kwongsai itu tidak boleh dipandang ringan.

Semua pihak katanya sama ada institusi, organisasi atau lain-lain perlu memastikan setiap tindakan yang melibatkan simbol negara dilakukan dengan penuh penghormatan serta kepatuhan kepada protokol yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -