PAS mengutuk Israel atas serangan di Sekolah Al-Tabin, Gaza

- Advertisement -

Kenyataan Media Presiden PAS

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam keras serangan ganas regim Zionis Israel ke atas Sekolah Al-Tabin di bandar Gaza yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 100 warga Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita serta ramai lagi warga Palestin dilaporkan cedera.

- Advertisement -

Serangan ganas yang tidak berperikemanusiaan ini wajar dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa dan selayaknya dijadikan asas utama ke atas regim Zionis Israel untuk dikenakan tindakan keras, sekatan mahupun pemulauan oleh negara-negara di dunia mahupun PBB.

Ia sekaligus membuktikan bahawa regim Zionis Israel sememangnya melakukan pembunuhan beramai-ramai atau “genocide” ke atas warga Palestin di Semenanjung Gaza termasuk mencabuli undang-undang antarabangsa dan piagam PBB.

Demi keadilan untuk warga Palestin, negara-negara di dunia khususnya negara Dunia Islam wajar memutuskan hubungan dengan regim Zionis Israel seterusnya mengheret regim Zionis Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas jenayah perang yang dilakukan ke atas warga Palestin.

Takziah diucapkan buat keluarga warga Palestin yang menjadi mangsa jenayah perang regim Zionis Israel. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka, dikurniakan ganjaran syahid dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Bebaskan Al-Quds, Merdekakan Palestin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh : 6 Safar 1446 / 11 Ogos 2024. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -