PAS Johor lancar jentera, dana PRK DUN Mahkota

- Advertisement -

KLUANG: PAS Negeri Johor telah melancarkan jentera dan dana bagi gerak kerja Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini.

- Advertisement -

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin dalam satu majlis yang berlangsung di di Balai Islam Haji Omar Jani, Taman Ilham, di sini malam kelmarin.

Dalam ucapannya Abdullah berkata, gerak kerja untuk PRK itu akan dilakukan serentak walaupun pada waktu ini tumpuan sedang diberikan untuk membantu PERIKATAN NASIONAL memenangi PRK DUN Nenggiri di Kelantan.

“Sebelum 17 haribulan ini insya-Allah kita memberikan tumpuan pada PRK DUN Nenggiri dengan doa yang berterusan munajat yang berterusan. Jadi insya-Allah Dewan Muslimat pun saya lihat ada membuat ‘Munajat AKIFI’ terus-menerus.

“Hari ini buat di Muar dan sebagainya. Antaranya untuk memohon kemenangan di DUN Nenggiri dan seterusnya di DUN Mahkota ini,” ujarnya.

Beliau berharap agar Jentera Pilihan Raya PAS Johor dapat mengumpulkan dana yang mencukupi selain menzahirkan keyakinan bahawa pertolongan dari Allah SWT dan kemenangan yang semakin dekat.

“Memang kita tak dapat nafikan duit itu bukan segala-galanya. Tetapi nampaknya memang kita memerlukan duit, memerlukan sumber kewangan yang banyak untuk kita menghadapi PRK DUN Mahkota ini.

“Saya yakin PAS Kawasan Kluang, dibantu oleh PAS Simpang Renggam, dibantu PAS Air Hitam, dibantu juga yang lain-lain. Insya-Allah kita akan minta seluruh Johor membantu,” ujarnya.

Mengulas mengenai beberapa PRK yang telah berlangsung sebelum ini, beliau berkata bahawa kekalahan PN di DUN Kuala Kubu Baharu adalah sesuatu yang sudah dijangka kerana ia kerusi disandang DAP.

Katanya, keputusan di PRK DUN Sungai Bakap yang beliau sendiri turut turun berkempen pula adalah satu suasana yang mendebarkan dan dibimbangi akan terpengaruh dengan keputusan di DUN Kuala Kubu Baharu.

Tambahnya, jumlah keluar mengundi yang rendah ketika itu menambahkan kebimbangan bahawa PERIKATAN NASIONAL mungkin kalah dan di pihak PH-BN pula sudah merasakan kemenangan berpihak kepada mereka.

“Tiba-tiba dengan izin allah SWT, mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah sebaik-baik perancang, membalas segala perancangan dan tipu daya mereka.

“Bukan sahaja PERIKATAN NASIONAL berjaya mengekalkan kemenangan di DUN Sungai Bakap, bahkan kita dengan izin Allah SWT kita menang bergaya,” katanya.

Menurut beliau, keputusan yang menyaksikan PERIKATAN NASIONAL yang dahulu hanya memperolehi majoriti1,500 undi telah meningkat kepada lebih 4,000 undi.

“Terkejut PH-BN. Terkejut DAP. Kita pun terkejut juga. Inilah suatu pencapaian jadi kita dapat benar-benar menang mengekalkan kemenangan itu,” katanya.

Katanya, walaupun bukan suatu perkara mudah untuk menawan DUN Mahkota yang merupakan kubu kuat Umno, namun beliau yakin ia boleh dilakukan dengan perancangan yang rapi.

Juga menurutnya dengan gerak kerja yang tersusun selain kecenderungan pengundi Melayu yang dilihat condong kepada PERIKATAN NASIONAL.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarhamah memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon PERIKATAN NASIONAL dan PH. – HARAKAHDAILY 11/8/2024

- Advertisement -